Mindef, ATM Serius Bantu Pendidikan Anak-Anak Warga Pertahanan, Veteran

MELAKA, 28 Sept – Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serius dalam membantu anak-anak warga pertahanan termasuk veterannya mendapatkan perkhidmatan pendidikan berkualiti.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Mindef dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) melaksanakan lapan program dalam usaha memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak warga pertahanan terus berkesinambungan.

Beliau berkata ia membabitkan Program Dermasiswa Premium yang melibatkan pemberian insentif sebanyak RM5,000 secara sekali beri kepada anak warga ATM dan veteran ATM jika mereka berjaya melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti ranking 100 terbaik dunia.

“Bagi Skim Penabungan Anak-Anak ATM Rukun Kelima (SPARK), sebanyak 13,500 anak anggota ATM yang bersekolah di Sekolah Dalam Kem (SDK) akan membuka akaun simpanan Tabung Haji dengan YLTAT menyumbang RM50 setiap seorang, membabitkan kos RM675,000.

“Sebanyak RM150,000 pula diperuntukkan untuk Program Sentuhan Elite Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu anak-anak warga ATM yang akan menduduki peperiksaan berkenaan akan dibantu meningkatkan tahap penguasaan dan pencapaian akademik terutama mata pelajaran teras membabitkan kolaborasi guru-guru pakar dari sekolah berprestasi tinggi dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau MRSM Terendak di Kem Terendak yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain di sini hari ini.

Hishammuddin berkata Program Train and Place yang mendapat kerjasama Yayasan Peneraju memberi peluang kepada anak warga ATM mendapatkan kemahiran dalam bidang vokasional dan padanan kerja dengan industri berkaitan.

Beliau berkata Program Penajaan Asasi Sastera Bersama Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) turut diperluaskan kepada anak warga ATM dan Mindef berbanding hanya 2,500 anak veteran sebelum ini untuk mengikuti pengajian percuma di peringkat Asasi Sastera.

“Selain itu, seramai 165 anak warga ATM yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM pada tahun lepas menerima insentif sebanyak RM1,500 seorang di bawah Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM dan 64 pelajar pula menerima insentif RM1,000 secara sekali beri di bawah Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Seramai 150 anak warga ATM yang mendapat tawaran di peringkat ijazah sarjana muda di IPTA sesi akademik 2021/2022 pula menerima komputer riba percuma membabitkan kos RM450,000 di bawah program Pemberian Komputer Riba,” katanya.

Beliau berkata Mindef dan ATM akan terus duduk semeja dengan pihak berkepentingan agar lebih banyak idea dan pandangan bagi menambah baik sistem pendidikan ATM dapat diperhalusi bersama seterusnya dilaksanakan pada masa depan.

“Ini termasuklah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti ruang-ruang kerjasama yang tidak hanya memanfaatkan anak-anak ATM tetapi juga pelajar awam lain di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.