Majlis Pemulihan Negara Platform Propaganda Politik… Apa Yang Dipulih? – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) namun sehingga kini apa yang dipulih?

Beliau berkata berkaitan hal ini berikutan sekali lagi Tan Sri Mahiaddin Yassin mengadu mengenai keberkesanan MPN yang dipimpinnya dengan kali ini menyalahkan Kerajaan Persekutuan, Kabinet dan Perdana Menteri kerana hanya menjalankan 16 daripada 69 cadangan daripada MPN.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, MPN perlu dibubar kerana fungsinya tidak jelas, tidak perlu, malah bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi-agensi Kerajaan lain yang bertindak sebagai penasihat serta pelaksana.

“Menteri Kabinet pula sentiasa menyelaras fungsi-fungsi agensi dan membawa sebarang dasar yang dicadangkan di peringkat Kementerian untuk dipertimbangkan oleh Kabinet sebelum dilaksanakan. Itu sahaja sudah mencukupi untuk Kerajaan berfungsi dan berjalan dengan baik,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), selain fungsi MPN yang bercelaru, pengerusi MPN yang bukan seorang Perdana Menteri dilihat melemahkan majlis itu sendiri.

“Meskipun MPN dianggotai oleh pakar-pakar dan subject matter experts, namun keberadaan Pengerusi MPN yang bukan Ketua Eksekutif menjadikan sebab pelaksanaan cadangan majlis itu kurang political will dan mungkin juga dilihat tidak perlu.

“Pengerusi MPN pula menggunakan majlis itu sebagai platform untuk mengabsahkan propaganda politiknya. Sering sahaja di kempen politik PRN Melaka dan PRN Johor, Pengerusi MPN menggunakan cadangan-cadangan majlis sebagai peluru politik dalam kempen-kempennya dengan menggambarkan seakan Kerajaan akan gagal jika cadangan-cadangan majlis tidak dilaksanakan.”

Sedangkan katanya, rakyat Malaysia tahu, MPN hanya menasihat dan memberikan cadangan kepada Kerajaan.

“Adat memberi cadangan, jika diterima kita bersyukur dan jika tidak, mungkin ada cadangan yang lebih baik. Maka, Tan Sri Mahiaddin tidak perlu berkeluh kesah seakan Kerajaan telah menidakkan peranan MPN atau MPN telah gagal.

“Dengan Kerajaan yang telah melaksanakan 16 daripada 69 cadangan majlis itu sendiri menunjukkan bahawa Kerajaan masih mengambil serius pandangan majlis meskipun kewujudannya tidak jelas, tidak perlu dan bertindih.”

Tegas Ahmad Zahid, Malaysia memerlukan kestabilan politik sebagai ramuan utama sebelum pelbagai bentuk polisi yang bermakna dapat dibentuk.

“Insya-Allah dengan kemenangan majoriti BN/UMNO kelak, MPN atau majlis seakan MPN tidak lagi diperlukan dan sinergi tersusun antara Kerajaan, sektor swasta dan ahli-ahli akademik serta NGO akan terus dirintis bagi membangunkan Malaysia tercinta,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.