Kerajaan Selangor Terlalu Rakus, 27 Tapak Kuari Baharu Di Hutan Simpan Bukit Lagong

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Selayang, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang dianggap terlalu rakus lantaran pembukaan 27 tapak kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong yang boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk.

Terdahulu semalam pendedahan dari sebuah NGO mengenai 27 kawasan di Hutan Simpan Bukit Lagong yang akan diteroka sebagai kuari baharu dan salah satu syarikat adalah GLC kerajaan negeri.

“Hari ini disuarakan juga oleh masyarakat Orang Asli di Kuang mengenai kebimbangan pembukaan kuari baharu ini akan mencetuskan pencemaran dan banjir. Jika di lihat dari peta, kebanyakan kawasan kuari baharu ini menghadap di sebelah DUN Kuang.

“Ini melibatkan kawasan Kampung Orang Asli Kuang. Kebanyakan kawasan yang digazetkan untuk kuari ini ialah kawasan mereka untuk mencari hasil hutan & kawasan anak sungai.

“Jadi kerisauan mereka yang pembukaan 27 tapak kuari yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka adalah berasas,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Ujar beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Selayang, tapak-tapak kuari baharu ini akan mengambil sekurang-kurangnya 40 peratus dari kawasan hijau Bukit Lagong.

“Persoalannya di sini, kenapa kerajaan negeri terlalu rakus hingga membuka sebegitu banyak tapak kuari di kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong?”

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri untuk memberi penjelasan dan menghentikan pembukaan tapak-tapak kuari ini.

“Atau kerajaan negeri akan terus menyalahkan BN yang sudah lebih 10 tahun tidak mentadbir Selangor?” bidasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.