Kejayaan PM Dari UMNO/BN… Angkat Imej Negara, Bahasa Melayu Di Persada Dunia

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad berpandangan kerajaan di bawah UMNO/Barisan Nasional (BN) yang diterajui Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri telah membawa imej tersendiri negara ke persada dunia.

Katanya ini kerana, ucapan sulung Ismail pada Debat Umum Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York ternyata membawa gambaran bahawa kepimpinan UMNO/BN mempunyai kredibiliti termasuk dalam mengangkat bahasa Melayu di peringkat global.

“UMNO, BN dan Perdana Menteri bersekali pakaiannya sudah tentu segala tingkah laku, tutur katanya, terpalit kepada parti. Segala kebaikan dilakukan beliau sebenarnya imej UMNO/BN serta negara yang terangkum di dalamnya ada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut. Secara langsung terangkat martabatnya kerana seorang Perdana Menteri menggunakan bahasa ibundanya pada dunia.

“Penggunaan bahasa Melayu ini bukan suatu yang janggal kerana telah digunakan bahasa persuratan, bahasa ilmu, undang-undang yang telah digunakan beberapa negara di nusantara ini. Sebagai warganegara Malaysia yang mencintai Rukun Negara amat bangga kerana mempunyai seorang Perdana Menteri bukan sekadar hero di negara ini sahaja tetapi beliau bercakap ini bukan ‘kaleng-kaleng’ (bukan sembarangan) iaitu di persada dunia.

“Jadi kehebatan seorang Perdana Menteri dari Malaysia pentadbiran kerajaan di bawah UMNO/Barisan Nasional yang dilihat kecil tubuh badan tetapi hebat jiwanya,” katanya ketika dihubungi UMNO Online baru-baru ini.

Beliau pada masa berkata, situasi ini jelas berbeza semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selama 22 bulan.

Jelas Dr Azhar, dibarisi kepimpinan yang tidak kompeten, PH juga gagal membawa imej yang baik buat negara di peringkat global.

“PH caca marba contohnya Presiden Amanah, Mohamad Sabu mudah sahaja kalau tidak pandai berbahasa Inggeris guna sahaja bahasa Melayu.

“…kerana kalau cakap bahasa Inggeris huru-hara di persada dunia ianya menjejaskan imej negara dan kerajaan.

“Saya bagi contoh ‘elephant fight elephant grass will suffer’ tak perlu semua itu, kerana Perdana Menteri pada ketika ini telah membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa standard di dunia,” ujar beliau.

Terdahulu, Ismail berucap dalam bahasa Melayu, yang julung kali digunakan oleh pemimpin Malaysia di UNGA, beliau menyentuh pelbagai isu antarabangsa termasuk konflik di Ukraine, Myanmar dan Palestin selain sekuriti makanan serta perubahan iklim. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.