Banjir: Chin Tong Perlu Nasihat Selangor Daripada Kenyataan Tak Berasas Terhadap Johor – Shahril

KUALA LUMPUR, 28 Sept – “Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Johor YB Liew Chin Tong perlu nasihat rakan beliau di Selangor mengenai persediaan menghadapi banjir dari mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas terhadap Kerajaan Johor.”

Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berikutan Chin Tong yang mendakwa kerajaan Johor meneruskan ‘budaya berniaga’ apabila menangani isu banjir dan perubahan iklim.

“Tidak adil bagi Liew Chin Tong menuduh Kerajaan Johor dan YAB MB Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meneruskan ‘business as usual’ apabila Kerajaan negeri telah mengumumkan pelbagai tindakan dari menaiktaraf pam air sedia ada, bina pam air baharu, menambah pembinaan ‘wier’ di kawasan hulu, membina tembok penahan banjir dan meneruskan kerja pelebaran dan mendalamkan sungai,” bidasnya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Tegas Shahril, tindakan ini bukan tindakan ‘business as usual’ tetapi tindakan segera yang dibuat dengan pantas bagi mengurus banjir yang berlaku di negeri Johor disamping mengurus situasi mencabar dengan krisis iklim.

“YB Liew Chin Tong lebih baik menasihati rakan-rakan Pakatan Harapan Selangor yang mana projek tebatan banjir diselubungi dakwaan rasuah untuk bertindak dengan segera agar peristiwa banjir di Nanding, Hulu Langat dan Sri Muda, Shah Alam tidak berlaku semula,” kata Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Terdahulu pada Ahad, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz telah pun mengarahkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mencari penyelesaian banjir kilat di lokasi tumpuan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.