Wanita Umpama ‘Tiang Agung’, Hasrat 30 Peratus Kuota Pada PRU15 – Hisham Suhaili

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Exco Wanita UMNO Malaysia, Hisham Suhaily Othman berharap resolusi Wanita UMNO yang dibincang dan dibentangkan pada Program WoRLD – Mengarus Perdana Perjuangan Wanita dapat direalisasikan.

Jelas beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Langkawi, seandainya perkara berkenaan dapat dilaksanakan ianya akan memberi impak yang amat bermakna khususnya hasrat meletakkan 30 peratus kuota wanita sebagai calon pilihan raya akan datang.

“Sepanjang tiga hari berada dalam program berkenaan, banyak ilmu yang kami timba dalam Program WoRLD – Mengarus Perdana Perjuangan Wanita. Setinggi-tinggi terima kasih kami ucapkan kepada Datuk Seri Noraini Ahmad, Ketua Wanita UMNO Malaysia dan Datuk Mastura Yazid Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita UMNO Malaysia yang memberi ruang dan peluang kepada kami untuk menjadi insan yang terpilih sebagai peserta program ini.

“Syabas dan tahniah kepada Yayasan Kepimpinan Wanita, Sekretariat Profesional Wanita UMNO Malaysia dan Wanita UMNO Malaysia yang menganjurkan dan bertungkus-lumus bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar dan sempurna,” katanya kepada UMNO Online.

Program WoRLD – Mengarus Perdana Perjuangan Wanita berlangsung selama tiga hari berakhir Ahad lalu di Sepang.

Sementara itu, menerusi perkongsian di Facebook beliau hari ini beliau menyifatkan Wanita umpama ‘Tiang Agung’ yang membawa maksud tiang kapal yang paling utama.

“Jika kita ada nakhoda kapal yang bagus, anak kapal yang ramai tetapi tiang kapal yang paling utama itu lemah, kapal akan tidak stabil dan mungkin ianya akan karam. Sebab itulah BN bergantung kepada ‘Tiang Agung’ (Wanita) yang kuat, supaya kapal dapat dikemudi menuju destinasi dengan selamat,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, kekuatan jentera Wanita yang ramai menjadi ‘Tiang Agung’ di semua pelosok Cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) memang telah terbukti sejak dari dulu lagi, maka peranan Wanita selaku ‘Tiang Agung’ ini seharusnya diiktiraf dan diberi penghormatan yang sewajarnya dan sekurang-kurangnya 30 peratus menjadi calon pilihan raya dan dilantik jawatan-jawatan penting dalam negara.

“Teruskan tegakkan dan kuatkan ‘Tiang Agung’ ini agar nakhoda, anak-anak kapal dan semua penumpang dapat belayar sehingga menuju destinasi kemenangan pada PRU15 (Pilihan Raya Umum 15) nanti,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.