Wanita UMNO/BN Perak Siap Siaga, Tekad Pertahankan Negeri

 

BAGAN DATUK, 27 Sept – Jentera Wanita UMNO/Barisan Nasional (BN) Negeri Perak sentiasa bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 15 pada bila-bila masa sahaja, kata Ketuanya Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak mengharapkan agar kesediaan jentera sentiasa berada pada tahap yang memuaskan.

“Saya berharap semua jentera UMNO/BN khususnya jentera wanita negeri Perak ini mestilah berada pada tahap kesiapsiagaan dan sentiasa bertenaga.

“Kita mesti ada keyakinan dan ilmu di dada. Paling utama kena yakin apa yang kita lakukan ini berlandaskan niat yang betul. Apabila kita buat sesuatu kerana Allah Taala, insya-Allah kita akan meraih kejayaan,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah berkata apa yang diungkapkan oleh Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri di majlis ramah mesra bersama jentera Bagan Datuk pada Jumaat lalu adalah sangat tepat.

“Kesiapsiagaan jentera pilihan raya negeri Perak terutamanya jentera wanita BN dan juga jentera jalinan rakyat berada dalam tahap siap siaga yang begitu baik sekali.

“Saya yakin dengan doa dan usaha yang telah buat selama ini, insya-Allah wanita BN Perak akan berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan kemenangan dan menambah lagi kerusi-kerusi yang akan dimenangi oleh BN pada PRU 15 yang akan datang ini,” jelasnya.

Terdahulu, Saarani telah melancarkan jentera BN peringkat Parlimen Bagan Datuk dan hanya berbaki dua kawasan yang perlu belum dilancarkan oleh beliau iaitu Sungai Siput dan Pasir Salak. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.