PRU15: Norshida Yakin Ketua Wanita Akan Letak Calon Yang Sesuai

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim yakin Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad akan meletakkan calon wanita yang sesuai bagi memberi kemenangan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Ini kerana katanya, meskipun ada pemimpin atasan yang menyatakan pendirian mereka untuk membawa perjuangan kuota 30 peratus wanita sebagai calon, banyak lagi perkara lain yang perlu diperhalusi.

“Semestinya sebagai pemimpin atasan seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengatakan bahawa mereka bersetuju untuk membawa suara Wanita UMNO iaitu kuota 30 peratus calon wanita, itu pendirian mereka. Mereka bercakap atas suara peribadi dan kita perlu ingat bahawa kita perlu menghormati institusi parti.

“Kita ada Presiden, kita kena bawa berbincang. Sebab itu ada di kalangan Wanita UMNO yang menyuarakan bahawa kita mahukan Ketua Wanita berada dalam jawatankuasa pemilihan calon, yang itu mungkin kita boleh pandang.

“Kita boleh rasa itu lebih rasional untuk kita letakkan ketua kita bersama-sama dengan kepimpinan presiden untuk mengadakan perbincangan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat itu berkata, UMNO/BN sebenarnya tidak mahu peristiwa kekalahan pada PRU ke-14 berulang kembali dan mereka mahukan supaya calon yang diletakkan di sesuatu kawasan itu berpotensi besar untuk menang.

“Kita sebenarnya tidak mahu peristiwa kekalahan kita yang lalu berulang kembali. Pada kali ini kita yakin bahawa Datuk Seri Dr Noraini akan meletakkan calon-calon wanita yang sesuai di parlimen masing-masing.

“Kita tidak mahu mengulang kembali insiden-insiden yang lepas sebab benda tersebut akan membawa satu signal yang tidak baik. Kita akan adakan PRU pada bila-bila masa sahaja. Kalau UMNO/BN kalah, kita akan susah untuk bangkit kembali.

“Harapan kita sangat tinggi untuk memastikan pertamanya 30 peratus penglibatan wanita dan yang keduanya kita mahukan calon yang diletakkan di sesuatu kawasan itu memperolehi kemenangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Norshida turut berharap agar suara Wanita UMNO dalam meletakkan 30 peratus calon wanita didengari oleh pucuk pimpinan parti serta bersama-sama menjayakan strategi untuk menawan semula Putrajaya.

“Saya juga ingin merayu kepada kepimpinan khususnya kepada Presiden UMNO untuk memberi laluan ataupun memberi kerusi tersebut kepada wanita. Wanita UMNO telah sebulat suara bersetuju bahawa kuota tersebut termasuk Wanita UMNO, Puteri UMNO dan wanita parti komponen untuk kita bersama-sama menjayakan strategi bagi menghadapi PRU yang akan datang.

“Kepada Wanita UMNO, dalam keadaan kita hendak menghadapi pilihan raya ini saya mengharapkan Wanita lebih berstrategi dan kita tidak boleh berada di tampuk lama lagi. Saya rasa sekarang ini mereka dah matang untuk menerima perubahan dan kita berharap semoga dengan gerak kerja yang teratur dan berstrategi ini kita akan menang pilihan raya. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.