PM Ismail Sabri Lakukan Kunjungan Hormat Ke Atas Presiden UAE Di Abu Dhabi

ABU DHABI, 27 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Pertemuan selama 30 minit itu berlangsung di Istana Presiden di sini.

Ini adalah pertemuan kali pertama antara kedua-dua pemimpin sejak pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden UAE yang baharu pada 14 Mei.

Ismail Sabri tiba di ibu negara UAE pagi Isnin untuk lawatan kerja empat hari, lawatan kedua sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2021.

Menurut pegawai, kedua-dua pemimpin membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan bilateral selama 40 tahun selain daripada bidang kerjasama yang baharu seperti sekuriti makanan, digitalisasi dalam pendidikan dan tenaga boleh diperbaharui.

Hari ini, Perdana Menteri dijadualkan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Ranhill Utilities dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC – MASDAR.

Pada 2021, UAE adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Bagi tahun 2021, nilai keseluruhan perdagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion (US$5.38 bilion) berbanding RM20.65 bilion (US$4.93 bilion) pada 2020. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.