PH Hilang Kepercayaan Pengundi… Guna Isu Banjir, Inflasi Sebarkan Dakyah – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pihak pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) memanipulasi isu banjir dan masalah inflasi bagi menyebarkan dakyah apabila mereka telah terbukti hilang sokongan daripada para pengundi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebimbangan sebenar mereka ialah apabila pengundi Melayu yang mewakili populasi negara terbesar kurang berminat untuk menyokong gabungan tersebut ketika gendang pilihan raya dipalu oleh UMNO/Barisan Nasional (BN).
“PH hampir menemui jalan buntu dan tidak mempunyai pilihan selain memerlukan lebih banyak masa. Dengan kata lain, PH cuba ‘membeli masa’ untuk melengahkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
“Malah menurut sumber portal MalaysiaNow, pemimpin gabungan itu diberitahu agar membangkitkan isu seperti bencana banjir dan kenaikan inflasi dengan harapan elak sebarang langkah pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini,” kata Pengerusi BN itu menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, berdasarkan pembentangan oleh beberapa badan pemikir yang ditugaskan untuk menjalankan penyelidikan mengenai sentimen pengundi terhadap PH, ternyata mereka memperoleh sokongan yang amat rendah.
“Malah portal tersebut menyatakan beberapa badan pemikir ditugaskan untuk menjalankan penyelidikan mengenai sentimen pengundi terhadap PH dan dijemput membentangkan penemuan mereka. Pembentangan data daripada tinjauan berasingan tersebut didapati penemuan utama ialah sokongan Melayu terhadap PH berada pada tahap paling rendah.
“Malah dikatakan tinjauan tersebut mendapati PH tidak akan mendapat lebih daripada 15 peratus undi Melayu pada PRU ke-15 jika ianya diadakan dalam masa terdekat ini. Dengan kata lain, keputusan PRU ke-15 tidak akan memihak PH disebabkan undi Melayu akan beralih arah kerana pemulihan dan kebangkitan UMNO/BN,” katanya lagi.
Menurut Ahmad Zahid lagi, PH langsung tidak membentangkan fakta mengenai banjir serta strategi untuk menanganinya dan hanya berminat untuk memikirkan strategi bagi memenangi PRU yang akan datang.
“Yang paling aneh tidak pula dibentangkan fakta mengenai banjir dan strategi untuk menyantuni rakyat ketika banjir melanda. Tidak pula dibentangkan strategi menangani inflasi untuk Malaysia yang kini melanda seluruh dunia. Sebaliknya pembangkang hanya lebih berminat untuk cuba memikirkan strategi untuk menang PRU daripada memikirkan masalah rakyat dalam pemukiman tersebut.
“Ini menunjukkan sikap sebenar pembangkang. Yang anehnya terdapat sekutu bersama UMNO/BN masih lagi terpedaya dengan dakyah pembangkang tersebut. Atau mereka sebenarnya ada motif mereka sendiri untuk melengahkan PRU sebelum musim tengkujuh bermula,” katanya lagi. – UMNO Online