Pemuda UMNO Sampaikan Suara Rakyat Kepada Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membawa suara rakyat yang mengadu terutamanya pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar, petang semalam.

Ini kerana katanya, golongan bersasar amat terkesan akibat inflasi dan krisis ekonomi yang semakin meruncing selepas pasca pandemik.

“KWSP bersasar untuk golongan yang amat terkesan dengan masalah kewangan meruncing akibat kesan inflasi dan krisis ekonomi yang belum pulih sepenuhnya pasca pandemik. Saya turut berkongsi dapatan daripada aduan lebih 226,996 pencarum yang buat aduan rasmi kepada Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat.

 

“Tengku Zafrul menjelaskan bahawa kerajaan telah memperhalusi mengenainya terutama mengambil kira isu-isu berbangkit setelah memenuhi permintaan pengeluaran KWSP kali terakhir yang terdahulu.

“Bagi beliau kerajaan punya tanggungjawab untuk bantu golongan yang terkesan teruk bukannya membiarkan mereka berterusan mengeluarkan lagi duit simpanan hari tua mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pertemuan yang sama, Dr Asyraf turut membangkitkan isu mengenai kesan inflasi dan krisis ekonomi khususnya kepada golongan M40 ke bawah.

“Saya bangkitkan keperluan untuk bantuan kerajaan dalam Bajet 2023 nanti mesti mengambil kira golongan M40 ke bawah yang seringkali terlepas pandang dalam bentuk bantuan kerana mereka juga antara yang amat terkesan dengan kos sara hidup dan harga barang yang mencanak naik, ditambah dengan Kadar Dasar Semalam (OPR) yang dinaikkan untuk menangani inflasi.

“Perkara ini (menurut Tengku Zafrul) juga sedang dipertimbangkan secara mendalam oleh pasukan penyediaan bajet negara termasuklah subsidi-subsidi yang dapat membantu mengurangkan beban rakyat. Cuma isunya untuk mencari formula keseimbangan agar kerajaan tidak terbeban dengan hutang yang boleh menjejaskan rating negara,” jelasnya.

Selain itu, Dr Asyraf juga menyentuh mengenai pendekatan bukan konvensional selain menaikkan OPR untuk menangani inflasi dan menarik pelabur dan Tengku Zafrul turut menyetujuinya.

“Beliau (Tengku Zafrul) bersetuju bahkan ramai pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat untuk melabur kembali selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dan terima kasih atas masa lebih sejam setengah diluangkan untuk mendengar luahan yang disampaikan bagi pihak rakyat,” ujarnya. – UMNO Online