Ismail ‘Anak Jantan’ Berani Tegur PBB Hapus Kuasa Veto, Kata Pemimpin UMNO

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pemimpin akar umbi UMNO menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘anak jantan’ apabila berani menyuarakan ketegasan bahawa kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu dihapuskan.

Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berkata, keberanian yang disuarakan Ismail dalam menentang kuasa veto mungkin tidak ada kepada semua pemimpin dunia lain.

“Ucapan perdana menteri di PBB sangat tegas dan berani dalam menegur kelamahan kuasa veto dan mencadangkan supaya veto tak digunakan lagi. Saya rasa tak ada pemimpin yang berani bercakap supaya veto itu tidak digunakan.

“Saya sebagai rakyat bangga atas keberanian pemimpin kita apatah lagi ia datang dari UMNO, bersuara di pentas dunia tentang ketegasan walaupun kita negara kecil tapi mesej oleh perdana menteri jelas dalam memastikan setiap hak asasi dijaga dengan baik oleh badan tertinggi dunia itu,” katanya.

Ismail ketika berucap di New York  berkata, kepincangan tadbir urus global dan PBB menjadi punca konflik dan krisis yang berlaku di seluruh dunia tidak dapat diselesaikan.

Beliau dengan tegas menyuarakan, masalah yang paling besar di badan dunia itu adalah Majlis Keselamatannya di mana kuasa veto sering disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia tertentu.

“Ini tidak demokratik dan melanggar prinsip asas demokrasi. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut.

“Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB ke-77.

Mengulas keberanian Ismail menggunakan Bahasa Melayu ketika berucap di PBB, Mustapa berkata ia bukanlah bermakna Ismail tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Kalau beliau tidak boleh berbahasa Inggeris mana mungkin beliau boleh menjadi peguam dan sebagainya,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.