B.Melayu Di Pentas Antarabangsa, Sewajarnya Dilakukan Pemimpin Terdahulu – Shukor

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Ketua UMNO Bahagian Selayang Datuk Abdul Shukur Idrus berkata, pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap dalam Bahasa Melayu di pentas antarabangsa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 sepatutnya telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Ujar beliau, pemimpin daripada negara seperti Jepun, Korea dan China sejak dahulu lagi sentiasa berucap menggunakan bahasa ibunda mereka maka tidak ada sebab Malaysia tidak boleh menggunakan bahasa Melayu untuk berucap di pentas antarabangsa.

“Sepatutnya pemimpin kita yang terdahulu buat begitu berucap dalam bahasa Melayu, mengapa kena malu… Pemimpin negara lain seperti Jepun, Korea dan China, walaupun mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi mereka memilih untuk menggunakan bahasa ibunda ketika berucap dalam program rasmi.

“Jadi, apa yang dibuat oleh Datuk Seri Ismail Sabri adalah satu tindakan yang tepat dan membanggakan negara.

“Saya pernah berpeluang ke Jepun, bila berbicara mereka boleh guna bahasa Inggeris, tapi bila nak perkenal teknologi mereka mereka kembali kepada bahasa asal. Sebab itu saya berasa bangga apabila Perdana Menteri mengagungkan bahasa kita,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ismail Sabri telah mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi negara yang pertama berucap menggunakan Bahasa Melayu pada perhimpunan tersebut yang diadakan di New York, Amerika Syarikat.

Perkara ini bukan sahaja merakam sejarah baharu bahasa Melayu di pentas perhimpunan diplomatik terbesar tetapi juga telah menunjukkan keseriusan dan ketegasan beliau selaku pemimpin utama negara yang komited mengangkat martabat bahasa Melayu di persada dunia. – UMNOOnline

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.