WoRLD: Pimpinan Atasan Beri Respons Positif, Perjuangan Kuota 30 Peratus Diteruskan – Noraini

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad teruja dengan respons positif yang diberikan oleh pimpinan atasan parti seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di atas penganjuran ‘Women Re-Energized Leadership Development (WoRLD) yang baru sahaja melabuhkan tirai semalam.

Katanya, program ini merupakan langkah positif yang diambil oleh Wanita UMNO dalam melatih peserta bagi mengukuhkan kesediaan mereka untuk menjadi pemimpin dan calon pilihan raya yang akan datang.

“Saya tengok mereka (Tok Mat Hasan dan Ahmad Maslan) positif apabila mereka menyatakan bahawa ini adalah langkah positif yang diambil oleh Wanita UMNO dalam kita melatih peserta mengukuhkan kesediaan mereka bagi menjadi pemimpin serta calon pilihan raya yang akan datang.

“Kita telah memberikan senarai calon wanita kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Tetapi, ulangan senarai itu kita akan berikan semula. Kebanyakannya adalah muka baharu. Boleh dikatakan lebih separuh daripada senarai tersebut,” katanya ketika ditemui selepas program WoRLD.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dijadikan sebagai penanda aras untuk meletakkan sekurang-kurang 30 peratus calon Wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Harapan saya untuk kuota calon wanita sebanyak 30 peratus, kita akan menjadikan PRN Johor sebagai ‘benchmark’ di mana penyertaan dan calon-calon wanita di negeri Johor adalah yang paling ramai setakat ini iaitu 25 peratus.

“Kita harap PRN Johor dijadikan sebagai ‘benchmark’ pada PRU yang akan datang iaitu dengan meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita. Sekiranya lebih, lagi bagus.

“Pada PRU ke-14, hanya sebanyak 11.47 peratus calon wanita yang dipertaruhkan. Daripada program WoRLD ini kita melihat potensi calon-calon yang kita boleh tawarkan pada peringkat bahagian dan juga calon muda termasuk daripada NGO. Kriterianya, mereka mesti bersedia menjadi calon dan memberi khidmat bakti kepada masyarakat,” katanya lagi.

Program ‘Women Re-Energize Leadership Development’ berlangsung selama tiga hari dari 23 September sehingga 25 September dengan bertujuan untuk mengarus perdanakan perjuangan Wanita UMNO dalam mendepani PRU ke-15.

Antara resolusi yang dibawa daripada program ini ialah memastikan sekurang-kurang 30 peratus pencalonan Wanita dalam PRU-15; memastikan sekurang-kurang nya 30 peratus Wanita dilantik di peringkat pembuat keputusan di GLC, GLIC, Universiti, badan-badan berkanun serta agensi-agensi Kerajaan dan Kementerian; menubuhkan Akademi Kepimpinan Wanita untuk mempastikan Wanita UMNO sentiasa mewujudkan saluran bakat kepimpinan Wanita tersedia bagi masa hadapan; mendorong anjakan minda daripada pemikiran negatif kepada positif, dalam naratif berstruktur menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan peralihan persepsi rakyat terhadap Wanita UMNO, sebagai kumpulan pemikir yang merancang pendekatan strategik untuk kesejahteraan rakyat. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.