Tumpu Kepada Pembangunan Negeri, Bukannya Cipta Publisiti Murahan – Syed Johan

ALOR SETAR, 26 Sept – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menyarankan Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor agar tidak mencipta pelbagai publisiti murahan sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di negeri Kedah sejak beliau mentadbir negeri ini.

Menurut beliau adalah lebih baik Menteri Besar Kedah itu memfokuskan diri kepada isu keberkesanan khidmat SADA yang merudum di zaman pentadbirannya malah beliau juga wajar mengembalikan tumpuan kepada tindakan proaktif mengekang tragedi kepala air dari berulang di lokasi lain.

“Selain mengambil tindakan ‘pre-emptive’ pada risiko negeri pertanian ini dari ancaman perubahan iklim global, Muhammad Sanusi juga perlu mencari punca sebenar prestasi hambar skuad Kenari yang mencorot, sebelum ‘tertomos’ ke liga yang lebih rendah pada musim hadapan.

“Satu perkara lagi, prestasi Kontinjen Sukma Kedah juga gagal mencapai sasaran 25 emas malah mencatatkan prestasi menurun apabila hanya mampu mencapai kutipan 16 emas yakni kurang dari temasya sukma 2018 di Perak,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tambah beliau lagi selaku rakyat Kedah, tegurannya berniat ikhlas dan usahlah membuang masa dengan leka mencari gaduh di media sosial, sebaliknya banyak lagi kerja penting yang harus Menteri Besar Kedah laksanakan.

“Beliau seharusnya berhenti berkelakuan kebudak-budakan dan biadap mencari gaduh dengan kerabat DiRaja di negara ini, khususnya Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

“Kelakuan Muhammad Sanusi itu bukan saja menjejaskan imej jawatan Menteri Besar Kedah yang disandangnya, malah menggalakkan rasa kurang hormat rakyat kepada Raja-Raja Melayu. Jelas, Beliau mempamerkan satu contoh teladan sikap buruk kepada rakyat khususnya generasi muda, lantas memalukan negeri Kedah.

“Memupuk budaya negatif sebegitu bukanlah satu amalan matang sebagai pemimpin sebuah Kerajaan Negeri, malah turut memalitkan aib kepada imej KDYMM Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, yang melantik beliau sebagai Menteri Besar Kedah,” ujarnya.

Tegasnya Sanusi tidak perlu mencipta publisiti murahan dengan taktik berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di negeri Kedah sejak beliau mentadbir negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.