Batu Nisan Untuk PPBM Sudah Tersedia Di Sabah – Razlan

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berpandangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah terkubur di negeri Sabah.

Katanya ini kerana, kenyataan daripada pemimpin parti di negeri itu yang memberikan gambaran bahawa mereka tidak menerima beberapa ketetapan telah diputuskan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“… yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran! Itulah perumpamaan yang ada pada Muhyiddin Yassin hari ini.

“Mengejar untung politik yang besar, sanggup menikam rakan di Sabah sehingga mahu melihat batu nisan UMNO di Negeri Di Bawah Bayu, akhirnya, PPBM gigit jari, kerugian yang tak sudah.

“Pemimpin PPBM di Sabah memberi gambaran bahawa mereka tidak lagi bersama Presidennya, mereka tidak sebulu dengan keputusan Muhyddin mahu berperang dengan Barisan Nasional (BN) malah mereka tidak menerima keputusan Muhyddin mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Pemimpin PPBM Sabah mempunyai kekuatan di Pusat, mereka mempunyai Naib Presiden dari Sabah yang menang bertanding baru-baru ini. Namun, apa yang tergambar dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah ini menunjukkan batu nisan untuk PPBM sudah tersedia, menunggu untuk dikuburkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau lagi, situasi ini diibaratkan seperti balasan kepada tindakan pemimpin utama parti itu yang sering kali bertindak mendabik dada dalam melaksana strategi politik mereka.

“Itu sebab, jangan kita berlagak menempelak parti lawan, jangan berlagak seperti panglima bertaring, namun tidak berani membunuh, orang cakap besar, lumrahnya adalah orang yang penakut.

“Balasan kepada PPBM adalah akibat perangai pemimpin mereka sendiri, sebuah parti kecil yang sering mahu menjadi abang besar, tidak mengukur baju di badan sendiri. Retak menunggu belah.

“Ingatan kepada semua parti politik, jangan ikut perangai PPBM, perjuangan itu bukan untuk jalan singkat mendapat kuasa, perjuangan itu bukan untuk kepentingan diri, ianya adalah satu pengorbanan demi kelangsungan dan kepercayaan kepada dasar parti,” ujar beliau.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah dari PPBM, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan kenyataan untuk terus menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Tindakan ini bertentangan dengan keputusan Perikatan Nasional (PN) yang mengisytiharkan BN sebagai musuh utama. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.