Pemimpin Parti Gabungan PN Tidak Sehaluan – Ahmad Maslan

PONTIAN, 25 Sept – Percanggahan pandangan pemimpin utama Perikatan Nasional (PN), mengenai pendirian gabungan itu terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), menunjukkan kepimpinan PN sudah tidak sehaluan, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan BN merupakan musuh utama gabungan itu pada PRU15, namun Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula menyifatkan UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama).

“…kelihatan pimpinan utama dua parti dalam PN ini tidak sehaluan, dan kita tunggu dan lihat secara teliti perkembangan politik yang akan berlaku sehari dua ini,” kata Ahli Parlimen Pontian itu pada sidang media selepas Program Walimatulurus Perdana Peringkat Daerah Pontian, di sini hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin baru-baru ini berkata PAS kekal berpendirian menganggap UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama) dan menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15, namun Muhyiddin semalam dilaporkan berkata parti komponen PN perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan adalah BN.

Mengenai dakwaan ada usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), Ahmad berkata MN masih wujud namun tiada sebarang keputusan dibuat untuk menyuburkan kembali gabungan itu dan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu media melaporkan ada pertemuan antara Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, yang didakwa mengenai MN bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti itu pada PRU15. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.