Kepelikan Dan Kecelaruan Pembangkang… Senaraikan Menteri Gagal Tapi Bantah PRU Awal

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak pembangkang yang dianggap kepelikan dalam kecelaruan.

Ini kerana katanya, pembangkang menyenaraikan ramai menteri telah gagal, namun membantah mandat diserahkan kepada rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan yang baharu

“Kancah politik difahami sebagai sesuatu yang dinamik, namun ‘kedinamikan’ tidak boleh disamaertikan dengan kecelaruan apatah lagi kepelikan.

“Pembangkang Malaysia sedang menonjolkan kedua-dua kecelaruan dan kepelikan tatkala menyenaraikan 10 menteri kerajaan sebagai gagal,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Tegas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), logik pembangkang, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak boleh diadakan supaya kerajaan yang dibarisi menteri dituduh gagal boleh terus fokus menjaga kebajikan untuk rakyat.

“Bagaimanapun kita memahami dengan jelas tidak semua yang dipropagandakan kepada menteri gagal itu adalah benar kerana ianya bermotifkan politik pembangkang.

“Sebenarnya kepelikan dan kecelaruan ini terjadi ekoran pembangkang amat takut untuk berdepan PRU-15 kerana tahu mereka sedang ditolak oleh rakyat.

“Tetapi dalam masa sama mahu terus menjadikan kerajaan campuran sebagai ‘punching bag’ bagi menghasut kebencian menyebabkan mereka ‘cakap tak serupa bikin’.”

Katanya, kecelaruan pembangkang sebenarnya sudah pun terserlah sejak mendakwa kestabilan politik telah dibentuk di Malaysia kerana memeterai MoU dengan kerajaan.

“Kepelikan pembangkang, selepas menjalin MoU semakin kuat pula memburuk-burukkan kerajaan malah berusaha menggagalkan usul kerajaan di Parlimen. Pembangkang malah menolak tawaran kerjasama bagi berkongsi idea dengan pasukan khusus menangani inflasi yang ditubuhkan oleh kerajaan.

“Meskipun demikian pembangkang tidak sepatutnya ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia pula yang lebih’ berhubung soal kegagalan. Menuduh orang lain gagal, tetapi mereka sebenarnya yang gagal apabila menyebabkan ekonomi negara merundum semasa menjadi tampuk kerajaan.

“Ekonomi pada zaman BN semakin bertumbuh dan bantuan kepada rakyat semakin bertambah sebelum berubah menjadi regresif selepas PRU-14.”

Sedangkan katanya, pembangkang sejurus menguasai kerajaan selepas 9 Mei 2018 mengubah polisi ekonomi negara dan meminta rakyat berkorban serta ikat perut akibat kegagalan yang telah mereka lakukan.

“Justeru, satu-satunya pilihan yang ada untuk rakyat mengembalikan dan mengabsahkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh dengan memilih BN pada PRU15 nanti.

“Pada tahun 2008 walaupun terdapat krisis kewangan global, ekonomi Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan BN mencatatkan pertumbuhan yang baik.

“Kerajaan BN pernah melakukannnya, Insya Allah kerajaan BN mampu melakukannya sekali lagi jika negara berdepan kegawatan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.