Jangan Politikkan Apa Lagi Menipu, Standard MP Dap Ke Laut – Puad

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas pemimpin Dap khususnya Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang dianggap tidak ada ‘standard’

Ini berikutan katanya, Shu Qi menuduh Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bersidang pada Khamis menolak Enakmen Anti Lompat Parti.

“Sebenarnya yang ditolak ialah usul ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Dap dari Skudai supaya ditubuh Jawatankuasa Pilihan Khas untuk buat kajian dan cadangan terhadap Enakmen Anti Lompat Parti.

“Yang ditolak bukan Enakmen tetapi penubuhan Jawatankuasa Khas. Kerajaan beranggapan ia tidak perlu kerana RUU (Rang Undang-undang) Anti Lompat Parti telah lulus di Parlimen dan sudah digazetkan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Jelas Puad yang juga Speaker DUN Johor, ini seperti hujah ADUN Barisan Nasional (BN) Pemanis, Anuar Manaf, RUU Anti Lompat Parti sudah lengkap maka tidak perlu buang masa untuk dikaji lagi.

“Menurut Anuar lagi, kita hanya menunggu RUU itu dimasukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

“Nampak sangat MP (Ahli Parlimen) Dap dari Kluang itu tidak buat ‘homework’. ADUN Skudai dari Dap, MP Kluang juga Dap. Dua-dua dari Johor. MP Kluang malas membaca ke? MP Dap dari Kluang itu juga tidak tahu jumlah kerusi yang BN menang. Dia kata 37, sebenarnya 40. Memalukan.

“Wong Shu Qi tahu ke, rundingan (usul) Dap itu dibenarkan untuk dibahaskan. Itu sudah cukup baik. Janganlah dipolitikkan apatah lagi menipu,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.