Usaha Perkasakan Wanita Perlu Dilakukan Berterusan – Noraini

 

SEPANG, 23 Sept – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata usaha ke arah pemerkasaan wanita di negara ini perlu dilakukan secara berterusan dengan strategi yang tepat.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), dalam konteks politik misalnya, meskipun wanita merupakan kumpulan penting yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan sesebuah parti politik, mereka jauh ketinggalan berbanding kaum lelaki dari segi ruang kepimpinan.

“Dalam PRU-14, calon wanita BN hanya mewakili 11.7 peratus daripada keseluruhan calon yang ditampilkan. Cuma, baru-baru ini, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Mac lalu, barisan calon wanita telah meningkat kepada 25 peratus.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan parti kerana memberi peluang pada calon wanita dan dalam PRN Johor, calon wanita UMNO semuanya menang bergaya.

“Saya berharap trend pencalonan dalam pilihan raya dengan meletakkan calon wanita dapat dipertingkatkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang. Insya Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program ‘Re-Energize Women Leadership Development’  (WoRLD), di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mewakili Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut serta pimpinan Wanita UMNO yang lain. Program berkenaan anjuran Sekretariat Profesional Wanita UMNO yang dipengeruskan Datuk Mastura Yazid.

Lebih 100 peserta terlibat dan program tersebut adalah siri pertama dan akan diteruskan lagi selepas ini.

Noraini seterusnya menambah pemerkasaan kepimpinan wanita dalam dunia politik khususnya mesti digerakkan secara serius dan berstrategik.

Tambahnya potensi dan bakat mereka mestilah diupayakan semaksima mungkin agar mampu menjadi seorang pemimpin yang berwibawa, berkarisma dan penuh integriti.

“Saya sentiasa menyokong penganjuran program seperti pada hari ini, kerana ia dapat menyubur dan mengembangkan lagi kemampuan pemimpin wanita melalui latihan, pembangunan dalam kerjaya dan kepimpinan, bimbingan dan mentoran, jaringan dan jangkauan.

“Insya-Allah, program WoRLD ini akan memberi manfaat kepada para peserta. Dalam membangunkan bakat atau menyerlahkan kepimpinan Wanita, kita perlu menerapkan kemahiran kepimpinan,” ujarnya.- UMNO-Online