Program WoRLD Antara Medium Terbaik Lahirkan Pimpinan Wanita
SEPANG, 23 Sept – Program ‘Re-Energize Women Leadership Development’ atau lebih dikenali dengan Program WoRLD dilihat medium terbaik dalam usaha melahirkan pemimpin wanita di negara ini.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata kepimpinan wanita sentiasa mendapat perhatian pimpinan parti untuk diketengahkan dalam usaha mengangkat martabat wanita.
“Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seringkali tekankan komitmen kepada Wanita UMNO/BN.
“Dalam perbincangan, Pengerusi BN sentiasa ingatkan soal ini dan beliau seringkali sebutkan soal komitmen 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Program ‘Re-Energize Women Leadership Development’ (WoRLD), di sini hari ini.
Turut serta Ketua Wanita UMNO yang juga Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Program berkenaan anjuran Sekretariat Profesional Wanita UMNO yang dipengeruskan Datuk Mastura Yazid.
Lebih 100 peserta terlibat dan program tersebut adalah siri pertama dan akan diteruskan lagi selepas ini.
Dr Zambry seterusnya menegaskan komitmen parti terhadap wanita dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan juga Johor baru-baru ini.
“PRN Melaka dan Johor memperlihatkan bagaimana proses pemilihan calon dan cabarannya amat tinggi… malah saya sendiri merasainya ketika saya berada pada zaman pemuda dahulu.
“Hari ini dengan bilangan pengundi yang semakin bertambah selain agihan pengundi wanita dan lelaki hampir sama… jadi inilah antara yang perlu dilihat dalam konteks ini dan bukan hanya terhad soal kuota dan sebagainya lagi.” ujarnya. – UMNO Online