Pembangkang Jangan Hipokrit Nilai Sistem Kehakiman Negara – Mohd Zaidy
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Para pembangkang diingatkan supaya tidak hipokrit untuk menilai sistem Kehakiman Negara apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam telah melepas dan membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas 40 tuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara(VLN).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abd Kadir berkata, sejak keputusan penghakiman tersebut diumumkan, ia juga telah menunjukkan sikap sebenar pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH) yang memperlekehkan pula sistem kehakiman negara hanya semata-mata keputusan mahkamah hari ini tidak memihak kepada kehendak mereka.
“Ia berbeza dengan sebelum ini iaitu ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah. Ketika itu, penyokong pembangkang ini memuji sistem kehakiman kita sebaik-baiknya.
“Ini jelaslah menunjukkan bahawa dalam menilai sesuatu proses perundangan, mereka tidak menilainya secara jujur dan ikhlas tetapi penilaian itu dibuat berdasarkan agenda parti mereka sendiri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Menurut Mohd Zaidy, sikap hipokrit ini perlu dielakkan dan pembangkang sepatutnya perlu mengamalkan politik baharu yang lebih terbuka dan turut kagum dengan semangat setia kawan yang ditonjolkan oleh barisan kepimpinan UMNO.
“Sikap hipokrit seperti ini perlu dielakkan. Sebaliknya dalam dunia demokrasi yang moden ini, pembangkang sepatutnya perlu mengamalkan politik baharu yang lebih terbuka. Jangan dibenarkan pihak-pihak tertentu menggunakan sistem perundangan sebagai strategi politik mereka.
“Selain daripada itu, sebagai pemimpin muda di dalam parti, saya kagum dengan semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh Timbalan Presiden kita, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat serta barisan kepimpinan UMNO yang sentiasa memberi semangat dan ada bersama Presiden UMNO ketika susah mahupun senang.
“Semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Tok Mat ini sedikit sebanyak memberi kestabilan kepada parti hingga ke hari ini walaupun kita menghadapi pelbagai cabaran sejak Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu. Terima kasih Tok Mat,” katanya lagi.
Tambah Mohd Zaidy lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan sentiasa setia dengan kepimpinan parti dan bersedia sekiranya gendang peperangan PRU ke-15 dipalu dalam masa yang terdekat.
“Apa pun, kami di Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan sentiasa setia dengan kepimpinan parti dan sentiasa bersiap siaga sekiranya diperlukan dan andai kata gendang perang telah dipalu, kami sentiasa bersedia!” katanya lagi.
Hari ini media melaporkan Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau. – UMNO Online