Akademi Sains Negara Laksana Kajian Perkasa Penyelidik Wanita

KOTA TINGGI, 23 Sept – Akademi Sains Negara sedang mengkaji kaedah bagi memperkasakan penyelidik wanita serta membantu mereka menyesuaikan diri apabila kembali ke bidang berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata selain itu, menerusi program Career Comeback oleh TalentCorp, beliau berharap lebih banyak tenaga penyelidik wanita kembali bekerja.

“Kita dapati peratusan wanita dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia hanya sekitar 49 peratus.

“Penyelidik wanita dalam R&D ini mempunyai peratusan begini kerana cabaran yang mereka hadapi ialah komitmen pada keluarga kerana kebanyakan penyelidik ini muda, dia mungkin mengambil pendekatan untuk berehat ini, (situasi ini) dipanggil keciciranyang kita lihat sebagai cabaran (dalam usaha kita memperkasakan wanita),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Women Empowerment Kolej Komuniti Bandar Tenggara, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai usaha pemerkasaan wanita dalam bidang sains dan teknologi.

Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, MOSTI dalam masa sama turut menyediakan pelan hala tuju dalam pelbagai teknologi untuk golongan wanita kembali semula menjadi penyelidik terutama bertahap eksperimen dan juga industri.

Terdahulu, dalam ucapan, beliau memetik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Mac lepas, yang mengatakan pemerkasaan wanita akan terus menjadi agenda penting negara yang memerlukan komitmen tinggi daripada semua pemegang taruh.

Dr Adham turut memetik skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 yang menunjukkan bahawa Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam sub-indeks kesihatan dan pendidikan.

Bagaimanapun, indeks itu menunjukkan keterlibatan wanita dalam bidang ekonomi masih rendah, justeru kemahiran keusahawanan dilihat antara langkah yang dilihat dalam memperbaiki tahap penglibatan itu, katanya. – BERNAMA