SUA Gesa Kerajaan Dedah 19 Perkara Penting Ditemui Dalam Buku Tommy Thomas

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa kerajaan untuk mendedahkan 19 perkara penting yang ditemui oleh Pasukan Petugas Khas berkenaan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Ahmad mendedahkan bahawa terdapat ratusan laporan polis dibuat terhadap buku bekas Peguam Negara itu.

“Pada awal Februari 2021 ratusan laporan polis telah dibuat terhadap Tommy Thomas dan bukunya ‘My Story: Justice In The Wilderness’.

“Saya ditemani oleh sekumpulan peguam juga telah membuat laporan polis yang panjang lebar dan telah pun disiasat oleh beberapa pegawai polis,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pontian itu berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyebut bahawa ada 19 perkara penting yang ditemui dalam buku tersebut.

“Pada 29 Ogos 2022, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyebut bahawa ada 19 perkara penting ditemui oleh Pasukan Petugas Khas yang kerajaan tubuhkan.

“Maka dipohon dan diminta agar kerajaan mendedahkan apakah 19 perkara itu kepada rakyat. Terima kasih,” katanya lagi.

Buku hasil penulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang berjudul ‘My Story: Justice In The Wilderness’ mengundang pelbagai spekulasi apabila beliau mendedahkan kepincangan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa beliau menjawat jawatan itu.

Pelbagai isu yang dibangkitkan di dalam penulisan tersebut termasuklah penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan Hakim, kebebasan badan Kehakiman, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan pengadilan dan pelbagai lagi isu yang mampu untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.