Sistem Pengawasan STIE Trend Watch Bantu Tingkat Jumlah Penyelidik Industri – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) sedang membangunkan Sistem Pengawasan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Trend Watch bagi meningkatkan jumlah peratusan penyelidik dalam sektor industri.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia kerana negara ketika ini hanya mempunyai 15.83 peratus penyelidik dalam sektor industri, dan 79.2 peratus di institusi pengajian tinggi.

“Menerusi sistem pengawasan data secara real-time ini, bakat STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) negara dapat dipantau dan dipertingkatkan bagi memenuhi inisiatif-inisiatif berkaitan.

“Ini dijangka memenuhi sasaran peningkatan 10 hingga 15 peratus jumlah penyelidik dalam sektor industri menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Felo ASM dan Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia 2022, semalam.

Beliau berkata sistem itu bertujuan menyusun strategi dan inisiatif yang bersesuaian berasaskan data untuk mengarus perdanakan STIE ke arah pembangunan sosio ekonomi negara.

Adham berkata ia sekali gus dapat memperkasa institut penyelidikan awam dan organisasi penyelidikan berkaitan kerajaan (GLRO) untuk menjadi perantara inovasi yang efektif bagi menghubungkan penyelidik di institut pengajian tinggi dan industri.

Sementara itu beliau berkata MOSTI turut menggesa ASM agar mempergiatkan usaha untuk menarik pakar dalam sektor industri untuk diiktiraf sebagai Felo atau Top Research Scientists Malaysia.

Katanya pencalonan individu daripada sektor industri akan membolehkan MOSTI dan ASM menggerakkan penglibatan mereka dalam pembangunan negara dengan lebih aktif dan berkesan.

Pada majlis tersebut, Dr Adham menyampaikan Penganugerahan Felo ASM kepada dua Felo Kanan dan 39 Felo serta pengiktirafan kepada 29 Top Research Scientists Malaysia.

Sehingga kini, ASM yang merupakan agensi di bawah MOSTI, mempunyai 28 Felo Kanan, 425 Felo dan 148 Top Research Scientists Malaysia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.