Sindiket Penipuan Kerja: K’jaan Pastikan Mangsa Dibawa Pulang Dengan Selamat

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksanakan melalui saluran yang ada bagi tujuan itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja kerana menjadi mangsa sindiket penipuan kerja itu.

“Kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, ekoran sindiket penipuan kerja seperti yang disuarakan oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) (Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad) telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa sindiket bagi mendapatkan maklumat terperinci untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada perdana menteri bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

Setakat semalam, Wisma Putra memaklumkan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan.

Ismail Sabri seterusnya menasihatkan seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.
“Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra bagi mengelak diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” katanya. – BERNAMA