Malaysia, UAE Setuju Perkukuh Hubungan Pertahanan – Hishammuddin

KUALA LUMPUR 21 Sept – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju memperhalusi prospek ke arah mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara khususnya dalam konteks pertahanan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang kini dalam lawatan rasmi ke UAE, berkata kedua-dua negara juga sepakat bahawa prospek itu perlu diterokai sebaik mungkin demi memacu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE ke tahap lebih tinggi.

“Ini termasuklah dengan meningkatkan perkongsian kepakaran serta pengalaman Malaysia dan UAE demi kepentingan keselamatan rakyat masing-masing,” menurutnya dalam kenyataan semalam selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi di Istana Qasr Al Shati.’

Beliau berkata ketika bertemu Sheikh Mohamed, yang juga Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE, mereka turut berbincang mengenai keperluan meningkatkan semangat persefahaman berteraskan nilai-nilai perpaduan dan tolak ansur terutama melalui penubuhan Kursi Sheikh Zayed di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia secara sintesis dengan Kursi Tun Hussein Onn yang sudah lama ditubuhkan.

“Kursi Sheikh Zayed ini telah dipersetujui penubuhannya semasa saya Menteri Luar Negeri sebelum ini. Kami percaya pemegang kedua-dua Kursi harus bekerjasama dalam menggalakkan perpaduan dan keupayaan terutama dengan perkongsian nilai-nilai Sheikh Zayed dan Tun Hussein Onn,” katanya.

Hishammuddin berkata beliau dan Sheikh Mohamed bersetuju usaha itu penting dalam usaha memahami bahawa keharmonian, toleransi dan perpaduan merupakan asas kejayaan sesebuah negara.

Katanya beliau dan Sheikh Mohamed turut mengambil peluang menzahirkan penghargaan atas komitmen kerajaan masing-masing demi memastikan hubungan Malaysia-UAE kekal bermanfaat selain bertukar pandangan mengenai beberapa isu kepentingan serantau dan antarabangsa pada pertemuan itu.

Hishammuddin juga berkata semasa bertemu Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE Mohammed Ahmed Al Bowardi di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan UAE, beliau menerima Kawalan Kehormat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan angkatan tentera negara itu.

Beliau berkata semasa mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya itu, beberapa kesepakatan penting berjaya dicapai antaranya mengadakan latihan dua hala bersama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera UAE melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Darat UAE.

“Selain itu, kita akan meningkatkan pertukaran dan latihan pegawai ketenteraan antara kedua-dua angkatan tentera dan penglibatan antara ketenteraan di peringkat tertinggi.

“Perkara ini turut dipersetujui oleh Panglima ATM dan Ketua Staf Angkatan Tentera UAE Leftenan Jeneral Hamad Mohammed Thani al-Rumaithi.

“Kedua-dua negara juga bersetuju untuk kerjasama berkaitan industri pertahanan terutama berhubung Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara Malaysia.

Hishammuddin berkata beliau turut menjemput Mohammed Ahmed Al Bowardi menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dari 23 hingga 27 Mei 2023.

Delegasi Malaysia dalam lawatan itu termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.