Lipat Gandakan Medium Media Sosial UMNO/BN, Tangkis Tohmahan Liar – Dr Norashikin

 

BAGAN DATUK, 21 Sept – Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berharap seluruh jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) akan melipat gandakan lagi penggunaan medium media sosial dalam usaha menangkis pelbagai tohmahan yang tidak benar tentang parti termasuklah kerajaan Perak hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah seterusnya berkata keberkesanan penyampaian maklumat menerusi media sosial sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada parti sekaligus membolehkan masyarakat mendapat maklumat yang sebenarnya.

“Jentera media sosial UMNO/BN secara amnya dan khususnya perlu melipat gandakan lagi usaha untuk menangkis apa juga cerita-cerita yang tidak benar tentang parti tersebut.

“Apa juga yang dibawa oleh pihak pembangkang tentulah perlu dikaji dan lihat keberkesanannya kerana apabila musim pilihan raya ini kebanyakkan berita dari pembangkang lebih banyak yang kurang tepat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya menambah selain daripada penggunaan media sosial, kepelbagaian pendekatan lain termasuklah memperkasakan lagi Jalinan Rakyat antara yang perlu diberikan penekanan.

“Begitu juga jentera Jalinan Rakyat… memperlengkapkan mereka dengan siri kursus-kursus penerangan dan ilmu yang dibekalkan serta meningkatkan lagi tahap keupayaan jentera BN dan jentera wanita dalam mengendalikan media sosial dengan lebih meluas lagi.

“Kita boleh menyebarkan maklumat, boleh membetulkan apa yang kurang tepat dengan memberi berita di luar sana dan berharap para pembaca tidak menerima bulat-bulat sesuatu perkara.

“Setiap berita perlu diperhalusi, merasakan adakah ini benar atau pun kurang tepat dan perlu dilihat balik ketepatan berita tersebut,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.