Gerak Kerja UMNO/BN Beri Kesan Baik, Yakin Menang Di Selangor – Dendera Billah

KUALA LUMPUR, 21 Sept – UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang cerah untuk menakluki semula Selangor serta meyakinkan para pengundi untuk memilih parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, hari ini gerak kerja UMNO/BN yang dilakukan di peringkat pusat dan bahagian dapat memberi kesan yang baik kepada masyarakat khususnya anak muda.

“Saya nampak di Selangor kita ada peluang untuk menang dan berjaya serta meyakinkan semula pengundi-pengundi khususnya anak muda kerana hari ini kita melihat apa sahaja gerak kerja manifesto yang dilakukan di peringkat pusat dapat memberi kesan yang baik.

“Terutamanya apa yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkenaan polisi-polisi kepada anak muda hari ini. Perkara ini dapat memberi satu peluang kepada anak muda untuk bangkit kembali,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, berdasarkan kepada kemenangan UMNO/BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, beliau yakin anak muda di Selangor kembali menyokong parti itu.

“Berdasarkan kepada apa yang berlaku di dua PRN iaitu di Johor dan Melaka, kebanyakan saluran muda di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) menyebelahi UMNO/BN.

“Jadi, saya yakin anak muda di Selangor mempunyai ilmu dan pengetahuan yang luas, maka saya yakin anak muda di Selangor akan kembali menyokong UMNO/BN,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dendera turut berpesan kepada para pengundi di Selangor untuk kembali memberikan mandat kepada UMNO/BN dan turut berjanji untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat di negeri itu.

“Saya nak pesan kepada para pengundi khususnya di Shah Alam. Insya-Allah kita akan kembali menjadi kerajaan di Selangor dan kita akan beri lebih baik lagi daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terdahulu.

“Apa yang paling penting, hari ini kita telah menjadi mangsa penipuan daripada kerajaan PH selama tiga penggal dan saya harap anak muda tidak tertipu lagi buat kali ini. Kembalilah mengundi UMNO/BN pada PRU yang akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.