PH Kuat Fitnah, Hasut, Putar Belit Fakta… Jadi Modal Nak Burukkan UMNO/BN – Zaidi

BAGAN DATUK, 20 Sept – Rakyat khususnya pengundi harus bijak menilai dan jangan mudah terpedaya hasutan fitnah yang ditaburkan oleh Pakatan Harapan (PH).

Menurut Pemangku Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz ini telah terbukti semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PH telah menggunakan berbagai-bagai hasutan sehingga rakyat terpedaya.

“Saya merasakan itu adalah satu fitnah dan perkara yang sangat dangkal. Janganlah masyarakat termakan hasutan dan fitnah dari PH. Mereka patutnya carilah modal lain untuk menang dan bukan memburukkan BN. Biarlah berkempen dan berpolitik pada saluran yang betul berdasarkan fakta dan bukannya berlandaskan emosi dan dendam kerana perkara ini akan merosak rakyat.

“Buka minda dan lihat kebobrokan yang pernah berlaku selama ini dan jangan kerana hasutan-hasutan serta emosi yang PH timbulkan akhirnya rakyat terpedaya. Rakyat di luar sana cukup bijak dan tahu modus operandi PH yang suka tabur janji serta menghasut malah mereka memburukkan BN dengan bermacam-macam.

“Masyarakat di luar sana perlu lebih berhati-hati dengan kenyataan yang memutar belit fakta dibuat oleh pihak pembangkang hanya kerana ingin memburukkan imej UMNO/BN,” ujar beliau kepada UMNO Online di sini.

Seterusnya Zaidi juga mempertikaikan kenyataan kepimpinan PH yang mengatakan bahawa apabila BN memenangi (PRU) ke-15 maka akan melakukan misi balas dendam pada mereka.

“Buat apa BN hendak balas dendam? Isu balas dendam biasanya pihak pembangkang yang melakukannya dan BN tidak pernah balas dendam pada sesiapa pun.

“Biasanya orang yang berkata balas dendam dia yang akan buat. Sepanjang 62 tahun BN memerintah negara tidak ada pun perkara balas dendam yang berlaku tapi lihat pada 22 bulan pemerintahan PH dan 17 bulan PN (Perikatan Nasional), apa yang telah mereka buat pada pimpinan BN? Kalau mereka (PH) yang buat… semuanya betul.

“Sebab itu ada pimpinan mereka membawa kes ke mahkamah dan BN tidak mengacau segala urusan hakim dan perundangan,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu lagi.

Tegasnya, ini telah terbukti sepanjang BN mentadbir negara dengan penuh ikhlas dan telus.

“Hanya BN yang mampu menawarkan negara ini kembali stabil. Hanya kerajaan yang stabil sahaja mampu menyelesaikan segala permasalahan sekiranya rakyat memberikan peluang BN mentadbir negara dan kerajaan Persekutuan,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.