Petronas Naikkan Dua Kategori Elaun Pelajar Bawah Tajaannya – PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept – PETRONAS akan menaikkan dua kategori elaun untuk pelajar di bawah tajaan mereka, melibatkan 2,267 orang berkuat kuasa serta merta.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kategori pertama melibatkan kenaikan elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500, untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.

Kategori kedua pula melibatkan pelajar yang baru menerima penajaan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP), di mana elaun induksi akan dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000.

“Kenaikan kedua-dua elaun ini mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi, dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa, seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar.

“Tajaan ini diharap dapat mendorong anda mengorak melangkah lebih jauh untuk menggapai cita-cita dan pulang dengan kejayaan, serta seterusnya menabur bakti kepada industri dan negara yang tercinta,” kata Perdana Menteri pada majlis penyampaian anugerah PESP 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri berkata program PESP telah melahirkan tenaga kerja profesional, mahir dan berketerampilan dalam kalangan generasi muda, khususnya bagi mencapai sasaran ‘Negara Maju Berpendapatan Tinggi’ seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Justeru beliau mengingatkan penerima PESP agar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan oleh pihak PETRONAS, dengan mencipta kecemerlangan dan kembali menyumbang kepada negara.

Pada tahun ini, seramai 600 pelajar ditawarkan belajar di bawah program PESP melibatkan nilai tajaan lebih RM340 juta, iaitu bilangan tajaan pelajar tertinggi sepanjang pelaksanaan program ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pendidikan akan terus menjadi agenda utama kerajaan, dengan turut menitik berat pembangunan kokurikulum, inovasi dan pencapaian akademik serta sikap saling menghormati dan mengasihi, sejajar dengan tiga teras utama Keluarga Malaysia.

Beliau berkata kerajaan juga memandang serius bilangan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang kini berada pada kadar 47 peratus dan Sains Tulen pada 19 peratus dengan meneliti hala tuju sebagai persediaan rapi mengharungi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Perdana Menteri berkata rakyat harus memastikan negara tidak ketinggalan dalam bidang STEM untuk terus kekal mampan dan berdaya saing di peringkat global.

Beliau berkata PETRONAS adalah antara penyokong kuat kepada usaha kerajaan memperkasa bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.

“Malah, syarikat gergasi petroleum negara ini juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) bermula dari sekolah rendah.

“Saya turut dimaklumkan PETRONAS turut menyokong program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Program (TVET) yang menjadi keutamaan negara bagi menyedikan bakat masa depan.

“Melalui Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA), seramai 11,450 belia di seluruh negara menerima pelbagai bantuan termasuk perkakasan, bantuan pembelajaran dan latihan serta khidmat nasihat,” kata Perdana Menteri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.