‘Perang’ Mesti Menang, Perlu Sematkan Dalam Setiap Diri Ahli Dan Jentera

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Mentaliti untuk memenangi ‘perang’ perlu tersemat dalam setiap diri ahli serta jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan sekaligus membentuk kerajaan kelak.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Norshida Ibrahim berkata itulah yang seharusnya tersemat supaya kepelbagaian peringkat jentera yang akan bergerak serta melaksanakan segala perancangan dan pelaksanaan tidak tersasar.

“Atas hakikat berkenaan, semalam berlangsung perbincangan dan segala lontaran menerusi perjumpaan bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut hadir dalam mesyuarat kami dan memberi sedikit penjelasan isu semasa dan amanat untuk semua kepimpinan ketua penerangan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Semalam berlangsung Mesyuarat Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang dipengerusikan Shahril Hamdan bersama Ketua Penerangan Sayap-Sayap Pusat, Negeri dan Setiausaha Penerangan Negeri.

Norshida seterusnya menambah segala persiapan dan pelbagai perkara yang melibatkan kesiapsiagaan disentuh dengan penjang lebar dan akan diatur sebaik mungkin selepas ini bagi melicinkan gerakan sehingga ke akar umbi.

“Alhamdulillah ianya lebih menjurus kepada Persiapan PRU, kesiap siagaan dan mengatur gerak kerja dalam mengerakkan segala medium untuk disebarkan kepada jentera. Penggunaan media sosial yang merupakan salah satu medium kempen baharu akan terus digiatkan lagi. Ceramah-ceramah di setiap bahagian pula akan diperhebatkan selain program taqarub terus dilaksanakan.

“Apa pun yang penting dan perlu diberikan tumpuan adalah naratif yang akan dibawa nanti. Semoga naratif yang di sampaikan akan lebih jelas dan memberi pemahaman kepada pengundi dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.