Jentera UMNO/BN Siap Siaga Kembalikan Parlimen Teluk Intan, Sedia Untuk PRU15 – Azhar

BAGAN DATUK, 20 Sept – Memandangkan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) bakal diadakan pada bila-bila masa biarpun tarikh sebenar pembubaran tidak diketahui, UMNO Bahagian Teluk Intan terus mengorak langkah dengan mempersiapkan jentera bagi menghadapi pertembungan tersebut.

Ketuanya, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata akar umbi UMNO dan jentera BN telah siap siaga bagi mendepani PRU dengan tekad mengembalikan Parlimen Teluk Intan untuk menyumbang pembentukan kerajaan BN selain kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar untuk kerajaan Negeri Perak.

“Semua jentera UMNO Bahagian Teluk Intan telah bersiap sedia bagi menghadapi PRU15, maka apabila jentera sudah siap pilihan raya harus disegerakan.

“Kita akan terus buat kerja di semua peringkat termasuk di pusat daerah mengundi (PDM), malah kita telah menggerakkan jentera pilihan raya dan yakin kali ini rakyat akan dapat buat penilaian yang tepat.

“Mood jentera di peringkat paling ‘optimum’ dan membuak-buak untuk berperang dalam pilihan raya bagi merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar serta mengekalkan DUN Changkat Jong bagi menyumbangkan kerusi di negeri Perak dan kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Dalam masa pada itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong menjelaskan UMNO Teluk Intan akan terus melakukan gerakan turun padang menyantuni pengundi termasuk juga yang ditimpa musibah.

“UMNO Teluk Intan tidak mendabik dada dan selalu menyantuni rakyat dan ini jelas ternyata UMNO masih di hadapan berbanding yang lain walaupun Parlimen ini diwakili oleh pembangkang,” jelasnya.

Untuk rekod, pada PRU14, DUN Changkat Jong dimenangi oleh Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dari BN dengan jumlah undi sebanyak 11,216. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.