Cermin Diri… Muhyiddin Gagal Tapi Salahkan Orang Lain – Najmil

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berharap Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat cermin diri berhubung kenyataannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya gagal mengurus negara.

Tegas beliau dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, persoalan sebenar adalah siapakah sebenarnya yang gagal dan apa guna Muhyiddin duduk di MPN jika sekiranya kenyataan yang dikeluarkan bercanggah dengan dasar kerajaan.

“Muhyiddin kata PM Ismail Sabri gagal dalam mengurus negara kerana beberapa masalah ekonomi negara seperti inflasi, kejatuhan ringgit dan sebagainya. Muhyiddin perlu cermin dirinya sendiri. Siapa yang gagal? Yang gagal adalah kamu sendiri sebagai Pengerusi MPN.

“Menteri Ekonomi dari PPBM. Begitu juga Menteri Kanan Perdagangan. Mereka ini yang mengurus ekonomi negara. Dekat sini kita dah nampak yang Presiden PPBM sendiri kata menterinya gagal tanpa sedari. Itu pun ada hati nak jadi TPM,” katanya.

Kata beliau lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Kuala Terengganu, tugas MPN adalah menasihati kerajaan dalam memulihkan ekonomi dan dari awal lagi peranan Muhyiddin sebagai pengerusi di lihat gagal kerana tidak membuahkan hasil dan berfungsi hanya sebagai penasihat kepada kerajaan.

“MPN ini hanya untuk memberikan Muhyiddin jawatan dalam kerajaan sahaja. Tugas menasihati kerajaan ini boleh dilakukan oleh pelbagai agensi seperti Unit Perancang Ekonomi dan juga institut penyelidikan lain. Apa guna Muhyiddin duduk di MPN ini kalau kenyataannya yang dikeluarkannya bercanggah dengan dasar kerajaan.

“Rakyat dapat menilai kejayaan YAB Datuk Seri Ismail Sabri dalam memulihkan negara. Dalam masa setahun mentadbir, pelbagai kejayaan telah kita capai. Antaranya, kadar pengangguran telah turun kepada 3.8 peratus (Jun) berbanding 4.6 peratus (Ogos).

“KDNK negara tertinggi di Asia Tenggara bagi suku kedua tahun 2022 iaitu 8.9 peratus. Malaysia berjaya mengatasi Singapura (4.8p eratus) dan Indonesia (5.4 peratus). Nilai jualan borong dan runcit meningkat kepada RM 132.8 bilion untuk Jun 2022 serta mengatasi prestasi terbaik sejak 2013. Inflasi Malaysia terendah di Asia Tenggara hanya pada 3.4 peratus dan dijangka mengalami inflasi yang paling rendah sekitar 3.2 peratus tahun ini jika dibandingkan dengan negara serantau lain,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, pelaburan langsung asing ‘FDI’ dalam masa sembilan bulan Ismail Sabri mentadbir adalah RM 74.1 bilion dan mengatasi jumlah FDI tahunan 2021, 2020, 2019 dan 2018

“Fakta dan data langsung tidak menunjukkan kerajaan gagal dalam mengurus ekonomi. Hanya Muhyiddin dan PH saja yang kata kerajaan gagal. Janganlah disebabkan cemburu dengan kejayaan PM, kamu mula mereka cerita bohong. Adalah lebih baik jika Muhyiddin letak jawatan sebagai Pengerusi MPN.  Negara telah pun pulih dan kita tidak perlukan lagi MPN,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.