Beranikah Muhyiddin Untuk Tekan Butang Sekarang… Tariklah Sokongan Terhadap PM
KUALA LUMPUR, 20 Sept – “Paling utama, jika Tan Sri Muhyiddin meyakini kerajaan hari ini gagal urus ekonomi dan perlu adakan PRU15, maka jangan hanya menyalak dan menggertak, buktikan dengan tindakan sebagai anak jantan untuk segera arah anak-anak buah Tan Sri dalam Kerajaan untuk menarik sokongan terhadap PM. Kalau berani tekan butang sekarang!”
Demikian bidas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berikutan semalam Muhyiddin secara terbuka membidas kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, yang didakwanya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.
Tegas Dr Asyraf Wajdi menerusi hantaran dalam Facebooknya, keadaan ekonomi hari ini jauh lebih baik daripada waktu beliau buat ‘Lock-Down’ separa masak paling lama dan menggantung Parlimen sewenangnya beberapa bulan. Jadi siapa sebenarnya yang gagal urus ekonomi?
“Siapa Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI? Siapa Menteri Perancang Ekonomi (EPU)? Dan siapa Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi? Bukankah semuanya termasuk Tan Sri daripada parti BUNGA? Sekali lagi siapakah yang sebenarnya gagal?
“Apakah setelah Tengku Zafrul isytihar menyertai BN, maka Menteri Kewangan lantikan Tan Sri bahkan disyaratkan oleh Tan Sri sendiri untuk dikekalkan sebagai Menteri Kewangan zaman Datuk Seri Ismail Sabri terus diisytiharkan gagal juga?” katanya lagi. – UMNO Online