Ahmad Zahid Gesa Tolak Sikap Rasis Sempit, Kenyataan Tommy Thomas Tidak Bertanggungjawab

KUALA LUMPUR – 20 Sept – Kenyataan bekas peguam negara Tommy Thomas dibidas dan dianggap tidak bertanggungjawab serta tidak sensitif kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Tommy Thomas prejudis hingga melabel-label etnik Melayu tanpa melihat perspektif yang menyeluruh dan luas.

Terdahulu dilaporkan Tommy Thomas menyatakan ‘kegagalan kerajaan Melayu’ ketika ini didominasi oleh orang Melayu dan memuji kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula sedangkan kerajaan PH 22 bulan dahulu ditadbir juga oleh orang Melayu, malah ramai mereka kini berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mereka ini bukan sahaja Melayu, terdapat juga etnik India, Cina dan Dayak. Maknanya Tommy Thomas terlalu obsess, prejudis hingga melabel-label etnik Melayu tanpa melihat perspektif yang menyeluruh dan luas,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya.

Tegasnya, Tommy Thomas lupa statistik 2021 bahawa Melayu dan bumiputera mewakili 69.8 peratus, etnik India 6.8 peratus dan Cina 22.4 peratus.

“Apa makna statistik ini? Ini bermakna mana-mana parti politik tidak boleh mengabaikan etnik yang membentuk majoriti dalam apa-apa keputusan politik dan pembentukan kerajaan.

“Dari segi agihan jawatan kabinet ia perlu mencerminkan dan berdasarkan jumlah populasi negara dan ini berlaku sejak dahulu hingga kini dan diterima secara menyeluruh dan menjadi amalan demokrasi tanpa mengabaikan etnik minoriti.

“Orang Melayu dan bumiputera terkenal dengan sikap bertolak ansur dan tidak rasis. Walaupun ramai mereka cemerlang di peringkat asasi dan matrikulasi mencapai Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 4.0 akan tetapi ramai Melayu Bumiputera kurang berpeluang mengikuti kursus yang mereka minati seperti bidang perubatan. Namun mereka tidak gunakan isu ini sebagai mereka dipinggirkan dan tak pula mereka dengki terhadap etnik lain yang mendapat tempat tersebut.”

Jelasnya, di mana-mana tempat perkampungan Melayu dan Bumiputera ada sahaja kedai Cina khususnya dan India malah perniagaan mereka ini disumbangkan oleh kuasa ekonomi Melayu Bumiputera yang memakmurkannya tanpa sikap prejudis dan rasis.

“Tommy lupa kedudukan beliau capai hingga dilantik sebagai Peguam Negara oleh Yang Dipertuan Agong disebabkan Malaysia sebuah negara harmoni dari segi perpaduan walaupun beliau dikecam kerana tidak fasih bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara.

“Namun sikap Tommy Thomas bukanlah baru. Dalam bukunya beliau pernah mendakwa parti Melayu sentrik selepas PH membawa bencana (disastraous consequences). Beliau tidak wajar menuduh secara pukal dan ini mencerminkan sikap prejudis beliau seolah-olah adanya sikap Malaymophobia.”

Katanya, sebagai rakyat Malaysia kita perlu menolak sikap rasis yang boleh mengugat keharmonian kaum.

“Biarlah kita bersikap ‘di mana bumi di pijak di situlah langit dijunjung’ dan hayatilah peribahasa ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.