Sumbangan MIC Diperlukan Bentuk Kerajaan Dominan BN

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasa bangga dengan kepimpinan tertinggi MIC terutama sekali Presidennya, Tan Sri S.A Vigneswaran yang begitu komited menubuhkan Briged MIC.

Jelas Presiden UMNO itu,sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) 15 dalam masa terdekat walau dalam apa keadaan apapun, beliau percaya Briged MIC dapat memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan BN dapat membentuk Kerajaan Persekutuan dengan dominan.

“Saya yakin kebersamaan MIC dengan MCA, PBRS dan UMNO telah terbukti. Biar pun BN telah diuji ketika kalah di dalam PRU14 tetapi terbukti MIC tidak pernah tinggalkan BN. Inilah kesetiakawanan MIC kepada BN dan yakin di dalam PRU ke 15 bila-bila pun MIC akan lebih ramai ahli-ahli Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) di seluruh negara.

“Saya merasa yakin semangat MIC pada PRU ke 15 kini sangat berbeza dari pilihan raya lalu. MIC akan terus berkerja keras untuk menentukan bahawa BN akan dominan semula di dalam pilihan raya ini dan jika diumumkan dalam waktu terdekat. Briged MIC ini akan berada di seluruh kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan dan Pameran Pencegahan Jenayah di Stadium Axiata di sini, Ahad petang.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran, Timbalan MIC, M. Saravanan, Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Naib-naib Presiden MIC dan jentera Briged MIC.

Seterusnya, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata sepanjang MIC berada dalam BN, berbagai onak duri telah dilalui parti tersebut namun atas semangat setia kawan parti tersebut kekal dalam BN.

“Selama 60 tahun terbukti biarpun MIC teruji dari dalam, biarpun BN teruji dari dalam, biarpun tahu banyak tawaran-tawaran yang pelbagai-bagai. Biarpun banyak ugutan-ugutan kepada kepimpinan MIC tetapi UMNO hormat pada MIC di atas kesetiakawanan.

“Biarpun banyak parti-parti yang mewakili masyarakat India dari ‘friends of BN’ dan tujuh lagi parti politik yang telah memohon untuk menjadi komponen BN, namun MIC tetap menjadi parti teras yang mewakili masyarakat India di Malaysia,” ujarnya.

Seterus kata Ahmad Zahid merasa yakin dengan ‘war room’ MIC dan kesiapsiagaan mereka menghadapi PRU. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.