Jangan Ulangi Kesilapan PRU Ke-14 Lalu – Bung Moktar

BUKIT GARAM, 19 Sept – Rakyat diingatkan tidak mengulangi kesilapan seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga tiada satu parti pun yang dominan untuk menjadi kerajaan.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kesilapan memilih itu menyebabkan ketidakstabilan politik negara sehingga sekarang.

Menurut beliau, keadaan itu bukan satu gambaran yang baik kerana kerajaan memerintah terumbang-ambing merancatkan pembangunan dan ekonomi negara iaitu rakyat yang menerima kesannya.

Bung berkata peluang sudah diberikan kepada parti lawan sehingga mereka boleh mengambil alih tampuk pemerintahan negara, namun apa yang mereka lakukan selama 22 bulan memerintah janji yang dicanangkan dalam manifesto gagal dilaksanakan yang ada hanya dendam kesumat kepada pemimpin UMNO/BN.

Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata, menyedari episod hitam melanda negara selepas PRU14 ekoran ketidakstabilan politik, UMNO dan BN bertekad memastikan kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 nanti adalah sebuah kerajaan yang stabil demi kemakmuran dan kepentingan rakyatnya.

“Justeru untuk menang kita mesti berkerja cara menang bukannya melaksanakan tugas yang diamanahkan secara sambil lewa, dekatilah ahli dan rakyat untuk menarik sokongan padu mereka kepada UMNO dan BN semasa PRU15 yang kini di ambang pintu untuk diadakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Cawangan-cawangan UMNO Zon Bukit Garam di Dewan SMK Bukit Garam Kinabatangan di sini baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO bahagian Kinabatangan, Datuk Jafry Arifin; Naib Ketua, Pg. Aziz Pg. Damsah; Setiausaha UMNO, Wad Daud Kahar; Ketua Penerangan, Datuk OKK Titing Putang; Ketua Wanita Aminah Johan; Ketua Pemuda, Mohd Kurniawan Naim Bung dan Ketua Puteri, Norhamiza Tinih.

Menurut Bung momentum ahli parti ketika ini adalah lebih baik dan meningkat jika dibandingkan di peringkat awal ketika BN tewas dalam PRU14 yang seharusnya digunakan oleh jentera parti untuk terus menaikan semangat ahli agar memilih BN pada PRU15.

“Kita bukan sahaja perlukan semangat, kita juga perlu strategi dan tindakan. Justeru cawangan, wanita, pemuda dan puteri perlu mainkan peranan masing-masing temui pengundi anjurkan seberapa banyak program agar ahli lebih mesra dan dekat dengan parti,” jelas Bung. – UMNO Online