Bukan ‘Ketuanan Melayu’, Istilah Melayu Unggul Lebih Tepat – Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Apakah sebuah portal di atas talian tersalah lapor atau tajuk berita tidak tepat, demikian soal Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ujarnya, UMNO tidak mendefinisikan dominan Melayu sebagai Ketuanan Melayu tetapi Melayu Unggul adalah istilah yang lebih tepat.

“’Ketuanan Melayu’ tidak ada dalam dalam Fasa 3 Perlembagaan UMNO. Tujuan UMNO ialah perjuangan Melayu demi kesaksamaan di atas padang permainan yang sama-rata.

“Matlamat Melayu Unggul ialah untuk menjadi bangsa yang berdaya saing, yang berilmu, yang berakhlak, yang tidak zalim, sedia kongsi kuasa dan menghormati hak kaum lain,” katanya menerusi Facebooknya.

Dr Puad memberi respon demikian merujuk kepada satu laporan berita dari portal atas talian yang melaporkan kenyataan Tun Musa Hitam bahawa gabungan UMNO, Pas dan PPBM tidak mampu lawan pengaruh PKR.

Alasan Musa ialah ‘Konsep Ketuanan Melayu’ sudah tidak lagi relevan.

Justeru, Dr Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit menimbulkan persoalan apakah itu perkauman.

“Sebab itu UMNO lebih awal melakukan tahaluf siyasi bila tertubuhnya PERIKATAN bersama MCA dan MIC. Ia diganti dengan BN (Barisan Nasional) dan kekal hingga ke hari ini.

“Musa Hitam guna kayu ukur, ada wanita bertudung hadir dalam majlis Dap ketika dia melancarkan buku Lim Kit Siang. Apakah kayu ukur Tun Musa itu tepat?,” soalnya lagi.

Jelas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, kayu ukur terbaik ialah apabila diberi kuasa.

“Mujur dalam politik Malaysia, Dap dan PKR sudah berpeluang menjadi kerajaan. Apa yang mereka buat? Dap ‘wipe out’ di Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Institusi orang Melayu seperti Tabung Haji dijahanamkan. PH (Pakatan Harapan) lebih zalim. Pendakwaan politik, gugur kes Lim Guan Eng dan lantik orang politik sebagai Peguam Negara dan Bos SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Meletak calon Melayu di kerusi majoriti kaum Cina hanyalah kosmetik. Dap adalah parti orang Cina sama MCA. Sebab itu Dap hanya berani bertanding di kerusi kawasan kaum Cina,” tegasnya.

Tambah Dr Puad, Musa juga mengetahui bahawa dasar BN adalah terbaik.

“Walaupun BN didokong oleh parti berasaskan kaum, tetapi dasar BN adalah berbilang kaum. BN tidak pernah tutup SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina). Sekolah itu tidak ada di Singapura.

“Sebab itu UMNO/BN boleh bangkit semula. Sampai masanya BN melaksanakan ‘Direct membership’ kerana ramai yang tidak berparti suka BN. Bukan PN (Perikatan Nasional),” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.