Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 Dijangka Tingkatkan Purata KDNK Sebanyak RM13 Bilion Setahun – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 19 Sept – Pelaksanaan Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 secara holistik dijangka dapat meningkatkan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM13 bilion setahun dan mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aspirasi khusus yang ditetapkan di bawah Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 yang dilancarkan hari ini akan dapat membantu mencapai aspirasi Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) Sifar Bersih 2050 bagi menghadapi trend yang berlaku dalam peralihan tenaga dan menangani cabaran perubahan iklim.

Beliau berkata aspirasi ini mengandungi sembilan sasaran terpilih untuk dicapai pada 2040, antaranya perkongsian mod pengangkutan awam bandar sebanyak 50 peratus; penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebanyak 38 peratus; standard bahan api alternatif kenderaan berat dengan campuran bahan api B30; penggunaan gas asli cecair (LNG) sebagai bahan api alternatif pengangkutan marin sebanyak 25 peratus dan penjimatan kecekapan tenaga oleh industri dan komersial sebanyak 11 peratus serta kediaman sebanyak 10 peratus.

“Kerajaan yakin DTN berupaya memastikan sektor tenaga negara sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran masa depan.

“Malah, sektor tenaga negara bakal membuka lembaran baharu selari di peringkat dunia yang menyaksikan munculnya sektor-sektor baharu seperti mobiliti rendah karbon melalui penggunaan EV serta penjanaan dan penyimpanan sumber tenaga baharu seperti hidrogen dan tenaga berasaskan bio,” katanya pada pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2040 di sini hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.