Ahmad Zahid Tegaskan BN Tidak Terpengaruh Perangkap Musuh, Tidak Menjual Harapan Seperti PH

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN sebagai blok politik yang stabil dan berpengalaman luas mentadbir tidak bersifat populis dan menjual harapan seperti Pakatan Harapan (PH).

Ujarnya, yang dijanjikan BN ialah komitmen realistik yang boleh dicapai berdasarkan situasi prestasi ekonomi semasa.

“Masa yang berbaki sebelum parlimen dibubarkan digunakan oleh musuh BN sebaik-baiknya. Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN.

“Namun kita perlu buktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya. Rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata.

“Manifesto yang mereka kemukakan tidak mereka laksanakan dan dianggap bukan kitab suci. Tindakan ini digunakan untuk menghalalkan mereka yang gunakan manifesto melangit hanya untuk memancing undi untuk menang,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, pelbagai pelancaran jentera parti komponen dan juga jentera BN terus berlangsung dan hal ini bermakna jentera BN dalam keadaan bersiap siaga untuk pembubaran parlimen dan pilihan raya umum.

“Persiapan ini bukan sahaja berlaku dalam BN. Jelas PH dan parti bukan BN juga sedang menjelajah di seluruh negara untuk kempen politik mereka.”

Katanya, BN boleh sahaja jadi populis untuk janjikan tol percuma, pendidikan percuma seperti manifesto palsu PH tapi BN tak sedemikian.

“Sebab BN tahu untuk menghapuskan keseluruhan hutang peminjam PTPTN adalah tidak ada logika kerana setiap penghutang perlu melunaskan hutang dan ini juga dituntut dalam Islam.

“Begitu juga menawarkan pendidikan percuma di universiti adalah tindakan populis sedangkan kita memerlukan pendapatan untuk membayar gaji pensyarah, kakitangan sokongan universiti, menyelenggarakan kolej universiti, melanggan bahan rujukan perpustakaan universiti, membiayai peruntukan bagi meningkatkan lagi pembelajaran, penyelidikan dan pengajaran universiti untuk anak bangsa negara.

“BN sedar hakikat ini dan tidak akan menipu rakyat dengan janji muluk-muluk seperti ini. PH berbuat demikian dan menjual janji kosong biarlah mereka dihukum rakyat pada pilihan raya umum ke-15 ini.

Bidas Ahmad Zahid, pembangkang juga menghasut rakyat kononnya mengadakan PRU tahun ini terdedah kepada banjir sedangkan mereka lupa bekas PM terakhir mereka Mahathir sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999 tak pula jadi isu besar.

“Terbaru tahun lepas PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk.

“Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap PH hilang apabila Dr Mahathir tak mahu serah jawatan kepada Anwar Ibrahim, selain manifesto mereka gagal laksanakan.”

Sebab itu katanya, mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN.

“Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan. BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan!” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.