UMNO/BN Perlu Menang PRU15 Bagi Membentuk Kerajaan Kukuh

KUALA LUMPUR, 18 Sept – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi membentuk kerajaan yang kukuh serta memulihkan semula negara untuk mencapai kestabilan politik.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Temerloh, Nurul Aslina Saman berpendapat, UMNO/BN perlu mengambil alih semula tampuk kepimpinan negara bagi memastikan generasi yang akan datang mempunyai masa depan yang cerah.

“Kerajaan UMNO/BN telah membuktikan kejayaan mereka dalam mentadbir negara selama 60 tahun. Meskipun ada pelbagai masalah yang melanda negara, ianya dapat ditangani dengan baik dan berakhir dengan kejayaan.

“Negara pernah mengalami kemelesetan ekonomi yang sangat serius dahulu. Tetapi di atas kebijaksanaan Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Najib, negara dapat mengatasinya. Beliau merupakan salah seorang pemimpin yang bijak untuk menangani segala masalah yang dihadapi negara,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Nurul Aslina, salah satu cara UMNO/BN menjaga ekonomi negara adalah dengan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) meskipun ianya mendapat tentangan yang hebat pada awal pelaksanaannya.

“Dahulu masa kita laksanakan GST, ramai yang menentang. Tapi hari ini, kita rasa GST ini sebenarnya satu sistem yang sangat baik. Selain daripada itu, UMNO/BN juga sangat cemerlang dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Sebagai contoh, semasa pemerintahan Datuk Seri Najib pelbagai bantuan telah disalurkan kepada rakyat dan mereka berasa amat lega kerana bebanan yang dihadapi berkurangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nurul Aslina turut berpesan kepada semua pengundi agar tidak tersalah pilih lagi pada PRU yang akan datang.

“Pesanan kepada pengundi, pilihan raya yang akan datang ini janganlah tersalah buat pilihan lagi. Janganlah termakan dengan gula-gula yang diberi oleh pihak sebelah sana. Kita kena lihat dan ingat dalam tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah apa yang mereka lakukan kepada kita. Jadi, dengan adanya kerajaan yang stabil, Insya-Allah kita akan terbela.

“Kepada jentera parti, teruskanlah bekerja. Insya-Allah, tuhan akan membalas ganjaran pekerjaan kita yang ikhlas itu. Percayalah,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.