UMNO/BN Kumpul Lebih 10,000 ‘Laksamana’

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Lebih 10,000 orang ahli Pemuda UMNO/Barisan Nasional (BN) berjaya dikumpulkan semasa Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN, di sini, Sabtu.

Kejayaan itu melihatkan bahawa semangat ‘Pemuda Bangkit Kembali’ menjadi pegangan utama mereka bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pentas ucapan dibuka dengan amanat yang disampaikan oleh Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi, menyatakan kesediaan Pemuda UMNO/BN untuk menghadapi PRU ke-15 meskipun sekiranya Parlimen dibubarkan pada ketika ini.

Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya parti, Datuk Seri Mohamad Hasan meneruskan tirai ucapan dengan mengingatkan Pemuda UMNO/BN seluruh negara untuk mengukuhkan kesatuan serta memberi fokus penuh kepada PRU ke-15 yang akan datang.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan bahawa beliau akan mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen tidak lama lagi, sekaligus mengundang semangat yang berkobar-kobar antara Pemuda UMNO/BN.

Tirai ucapan diakhiri dengan amanat daripada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekaligus merasmikan Pelancaran Pemuda UMNO/BN.

Menurut Ahmad Zahid, kesiapsiagaan Pemuda UMNO/BN tidak boleh dipertikaikan kerana mereka bersedia meredah banjir yang diramal berlaku hujung tahun ini sekiranya PRU ke-15 diadakan dalam tempoh tersebut.

Ahmad Zahid turut berkata, kesiapsiagaan jentera BN dari segi perkakasan tempur untuk berdepan perang maya mesti diperkukuh selain menjawab sebarang isu dengan segera.

Pelancaran Jentera Pemuda UMNO/BN berlangsung dalam keadaan yang sangat bersemangat dari mula sehingga akhir.

Para Pemuda UMNO/BN ternyata sudah bersedia untuk bertempur di medan perang serta menjadi benteng utama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.