MOSTI Harap Lebih Peruntukan Komersialkan R&D, Pacu Syarikat Pemula

KOTA TINGGI, 18 Sept – Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap memperoleh peruntukan yang lebih banyak untuk pengkomersialan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memacu syarikat pemula pada Bajet 2023 yang akan dibentangkan, awal bulan hadapan.

Menteri Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pihaknya juga telah mengajukan pendekatan itu menerusi satu sesi konsultasi dengan Kementerian Kewangan pada 31 Ogos lepas.

Beliau berkata Malaysia perlu beralih kepada negara pembuat seiring dengan kemajuan teknologi sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kita telah mengajukan beberapa pendekatan iaitu elemen R&D tidak boleh lagi berada di peringkat fundamental, dan mesti berada di peringkat komersial produk-produk dan perkhidmatan serta hasil-hasil R&D.

“Kita mesti beralih ke arah negara pembuat daripada pengguna, dengan teknologi baharu muncul kita mampu memberi pekerjaan kepada rakyat.

“Jadi, saya telah pun membangkitkan isu berkenaan syarikat pemula yang baharu memulakan perniagaan dalam bidang teknologi supaya diberi ruang tahun depan untuk mereka terus maju supaya tidak kecundang di tengah-tengah konsep R&D mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Merdeka @ Parlimen Keluarga Malaysia Tenggara, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan untuk Bajet 2023.

Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara itu berkata MOSTI turut diminta oleh Kementerian Kewangan untuk menyusun semula strategi-strategi bagi memastikannya layak menerima peruntukan yang lebih.

Beliau pada masa sama yakin usaha itu dapat membantu para penyelidik dan pembangun R&D mendapat tempat untuk meneruskan kegiatan dan mengkomersialkan produk sekali gus menembusi pasaran antarabangsa.

Bajet 2023 dijangka dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Okt. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.