Ekspo Deepavali: Peniaga Diminta Buat Laporan Rasmi – Jafni

JOHOR BAHRU, 18 Sept – Peniaga kecil India di negeri ini diminta mengemukakan aduan secara rasmi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya berhadapan sebarang isu yang membabitkan agensi terbabit, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Ia susulan gesaan Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil India Johor Bahru supaya PBT di negeri ini agar tidak memberi lesen kepada usahawan luar untuk mengadakan ekspo jualan di bandar raya ini dan di Iskandar Puteri sempena sambutan Deepavali.

Persatuan itu turut mempersoalkan tindakan PBT yang membenarkan usahawan luar melakukan ekspo Deepavali lebih awal berbanding peniaga tempatan yang dibenarkan mengadakan bazar Deepavali tiga minggu sebelum perayaan tersebut.

Mohd Jafni berkata peniaga terbabit diminta untuk membuat aduan secara rasmi kepada PBT berkaitan untuk rujukan, pengesahan dan tindakan selanjutnya.

“Perkara ini tidak boleh dijawab ketika ini kerana belum ada laporan dan maklumat mengenai perkara tersebut melainkan pengadu buat aduan rasmi dan memberikan maklumat untuk kita selidik perkara tersebut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi persatuan tersebut D. Ravindran berkata eskpo berkenaan yang bermula hujung bulan ini, dijangka menjejaskan pendapatan peniaga kecil India yang baru sahaja ingin membina kembali perniagaan selepas dua tahun tidak dibenarkan beroperasi susulan pandemik.

“Bazar oleh peniaga-peniaga di Johor mula tiga minggu sebelum Deepavali tetapi ekspo-ekspo luar ini mula awal 23 Sept. Mereka tukar-tukar tempat, seminggu di Danga Bay kemudian di Taman Tasik Skudai dan di pasar raya Sogo.

“Ia dimonopoli oleh peniaga luar manakala peniaga Johor menjadi mangsa kerana perniagaan akan terkesan disebabkan orang akan pergi ke sana berbanding pergi ke tempat kami.

“Ini sekali gus membuatkan pendapatan kami terjejas dan hutang bank, pinjaman dari saudara-mara tidak di boleh diselesaikan,” katanya kepada pemberita di kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di sini semalam.

Bagi peniaga tekstil I.Vimala, 55, peniaga kecil tempatan berharap kerajaan negeri dapat membantu dengan memberi sokongan dan memberi ruang untuk mereka merancakkan kembali perniagaan khususnya ketika perayaan Deepavali tanpa ‘gangguan’ usahawan dari luar Johor. – BERNAMA