Wanita UMNO P.Pinang Kenal Pasti Calon Untuk PRU15

TASEK GELUGOR, 17 Sept – Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang telah mengenal pasti calon-calon wanita yang dicadangkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti di negeri itu, termasuk dari parti komponen dan juga ‘Friends of Barisan Nasional’ untuk dipersembahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Ketuanya Datuk Norliza Abdul Rahim berkata beliau juga berharap lebih ramai kaum wanita dicalonkan untuk bertanding pada PRU15 nanti, mungkin lebih daripada 30 peratus sebagaimana sebelum ini.

“Masa PRN (Pilihan Raya Negeri) di Johor dan Melaka, calon-calon wanita menang, dan kejayaan ini mungkin sebab rakyat yakin dengan wanita, lagipun jentera wanita yang turun ke bawah mendekati akar umbi jadi rakyat lebih kenali calon wanita dengan lebih rapat.

“Dapat atau tidak (diletakkan sebagai calon), itu soal kedua, yang penting ialah kita berhasrat untuk ketengahkan calon-calon wanita yang lebih holistik merangkumi calon-calon lain daripada parti komponen BN. Jadi semestinya ia tidak terhad kepada Wanita UMNO sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO dan pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA) berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia peringkat Pulau Pinang di sini hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.