Tak Buat Ceramah Pun Rafizi Jadikan Isu, Bidas Dr Puad

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang semakin tiada isu untuk dimanipulasinya.

Katanya menerusi satu hantaran di Facebook, ia merujuk kepada kenyataan Rafizi yang memainkan isu UMNO dan Pas tidak berani membuat ceramah.

“Itu pun Rafizi mahu jadikan isu. Kamu teruslah buat ceramah fitnah. Bawa trak fitnah kamu ke sana ke mari. Eloklah kamu syok sendiri.

“Semua tahu yang datang ceramah trak kamu itu ialah ahli PKR yang pro kamu. Tak nampak pun muka Anwar (Anwar Ibrahim) atau Saifuddin (Saifuddin Nasution Ismail). Ceramah tunjuk kekuatan untuk sisihkan geng Anwar,” ujarnya.

Soal Dr Puad lagi, apakah perkembangan fitnah-fitnah yang dijaja Rafizi dan isu mengenai partinya itu sendiri sebelum ini.

“Apa jadi fitnah LCS (kapal tempur pesisir)? Mana salinan sijil nikah Dr Latif (Dr Latiff Ahmad) dan Zainab Mohd Salleh.

“Apa cerita terowong Guan Eng (Lim Guan Eng) yang ghaib. Apa cerita forensik audit terhadap pemilihan PKR?” tanyanya lagi.

Tambah Dr Puad lagi, adakah Rafizi juga akan mengikuti jejak ramai di kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang hanya sekejap sahaja dapat memegang jawatan.

“Tun M (Mahathir Mohamad), Muhyiddin (Muhyiddin Yassin), Mukriz (Mukhriz Mahathir), Shafie Afdal, Osman Sapian, Peja (Mohd Faizal Azumu) dan Dr Shaharuddin (Sahruddin Jamal) tidak lama jadi PM (Perdana Menteri) dan MB (Menteri Besar).

“Takut Rafizi juga hanya sekejap jadi Timbalan Presiden PKR,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.