PRU15 Perlu Diadakan Tahun Ini, Elak Defisit Sokongan – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 17 Sept – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 perlu diadakan pada tahun ini, tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), jika PRU dilambatkan maka dibimbangi akan berlaku defisit sokongan.

“PRU mesti diadakan pada tahun ini juga dalam apa juga keadaan. Kalau dilambatkan akan berlaku ‘trust deficit’ atau defisit sokongan’.

“Dari segi politik sangat dinamik, berubah setiap detik, setiap hari setiap minggu, maka kita tidak boleh merendahkan kepedulian terhadap kesiapsiagaan anggota jentera kita.”

Katanya, biarpun strategi atau taktikal diperincikan namun amat penting bagi mengamit hati pengundi.

“Maka pada hari itu pengundi-pengundi mempunyai kuasa sepenuhnya siapa yang akan menguasai dewan undangan negeri, negeri dan negara.

“Pengundi mempunyai banyak pilihan tetapi yakinlah kalau kita bekerja kuat, ikhlas dan ‘track record’ BN dilihat maka pengundi akan memilih semula calon-calon yang akan kita kemukakan.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Jentera BN Parlimen bahagian terbabit yang diadakan di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini pada Jumaat.

Pelancaran tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut memberikan taklimat berkaitan gerak kerja jentera pada PRU kelak.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, kerana itulah kemenangan BN bergantung kepada gerak kerja dan kekuatan jentera parti.

“Kini kita mahu calon dari BN yang meliputi mana-mana kompenan pun akan terus mendapat sokongan, maka kita ketepikan apa-apa perbezaan untuk kita bekerja keras atas lambang BN.

“Kesungguhan untuk gerak kerja jentera memperlihatkan komitmen dalam kesiapsiagaan kerana PRU kali ini sangat-sangat mencabar.

“Ada lapan parti dalam Friends of BN, ada tujuh yang mahu menyertai BN. Adakah kita tak buka minda untuk mereka?”

Jelasnya, sekarang ini dalam negara ada enam parti gabungan iaitu BN, PN, PH, GPS, GRS, GTA – Gila Talak Association.

“Kesatupaduan parti-parti teras, Friends of BN dan tujuh parti lain yang ingin menyertai BN cukup kuat untuk berdepan PRU”

“Setiap hari pengundi bertambah khususnya pengundi 18 tahun. Situasinya berubah dan sekarang BN mesti kembali dominan dengan jentera yang bekerja luar biasa.”

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Azian Osman serta kepimpinan UMNO negeri dan bahagian pelbagai peringkat.

Tidak ketinggalan kepimpinan rakan kompenan BN iaitu Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan; Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah dan kepimpinan kompenan peringkat negeri Perak yang lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.