Laksanakan Gerak Kerja Secara Hibrid – Pengerusi BN

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Jentera parti pelbagai peringkat termasuklah Pemuda, Wanita dan Puteri perlulah melaksanakan gerak kerja secara hibrid menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata langkah itu penting dalam usaha merealisasikan gerak kerja bersepadu agar parti mencapai kejayaan kelak.

“Kalau inilah semangat yang akan diterjemahkan ketika PRU nanti insya-Allah…kali ini pendekatan mesti hibrid baik Pemuda, Wanita, Puteri dan jentera di cawangan serta pelbagai peringkat harus bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa petang tadi.

Turut serta Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta pimpinan rakan komponen BN yang lain.

Ahmad Zahid seterusnya menegaskan ‘penghasut’ hari ini sedang giat menabur pelbagai fitnah terhadap parti dan jentera perlu menangkis sebaiknya.

“Penghasut sedang bekerja keras dan adakan fitnah yang pelbagai. jangan tunggu isu-isu yang ada pada mereka terus dihala pada kita.

“Apa yang kita mahu adalah kemenangan calon BN…kita tidak mahu rakyat dihasut, mereka adakan perhimpunan raksasa dan sebagainya.

“Justeru perang maya mesti dilakukan dan bukannya perang sesama sendiri…perang dengan musuh di luar sana…Kita mesti kuasai dunia maya dan siapa lagi yang kita harapkan kalau bukan Pemuda, Wanita dan Puteri serta seluruh jentera yang lain,” ujarnya.- UMNO Online