KPKT Timbang Kerjasama Rentas Kementerian, Tingkat Operasi Pengusaha Inap Desa

KEPALA BATAS, 17 Sept – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menimbangkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan kerajaan negeri untuk memberi suntikan kepada pengusaha-pengusaha inap desa agar dapat kembali beroperasi dengan lebih aktif.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kerjasama rentas kementerian ini adalah wajar bagi menampilkan satu garis panduan supaya tidak berlaku pelanggaran akta sedia ada dalam usaha mengembangkan industri berkenaan.

“KPKT akan meneliti keperluan untuk kerjasama ini bagi mengeluarkan garis panduan yang bersesuaian tentang aktiviti ‘homestay’ yang di bawah seliaan MOTAC,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan program Visit MyKampung Homestay Kota Aur@PERDA di sini hari ini.

Ahli parlimen Kepala Batas itu berkata sejak pandemik COVID-19 mula menunjukkan penurunan, aktiviti pelancongan turut mendapat impak positif, dan menurutnya kini lebih banyak penerbangan antarabangsa mula tiba ke Pulau Pinang.

Katanya pengusaha inap desa perlu mengambil kesempatan ke atas trend ‘staycation’ yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat tempatan dengan meningkatkan promosi, khususnya di penempatan yang mempunyai ciri-ciri unik seperti pemandangan sawah padi suasana kampung, yang semakin diminati ramai.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.